Topik diikuti
Pergi ke BHkuIkhsan Fandi pemain S’pura pertama jaring gol dalam liga Jepun
Gembira dapat buka tirai jaringan meski pasukan tewas di padang sendiri
GUNMA (Jepun): Melalui lompatan dan tandukan padu, penyerang Thespa Gunma, Ikhsan Fandi, menjadi pemain Singapura pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam liga profesional Jepun, dalam perlawanan Liga J3 semasa menentang Reilac Shiga pada 22 Ogos.
Meskipun Ikhsan berjaya meledak gol pada minit ke-89, pasukannya akhirnya tewas 2-3 di padang sendiri.
“Saya gembira dapat membuka tirai jaringan saya di Jepun dan berharap ada lagi (jaringan) selepas ini.
“Saya berharap dapat menjadi inspirasi buat anak muda di Singapura untuk sentiasa percaya, sentiasa berusaha meningkatkan diri, dan terus berjuang demi impian mereka,” kata penyerang skuad kebangsaan Singapura itu kepada The Straits Times (ST).
Jurulatih kebangsaan, Gavin Lee, sangat gembira buat Ikhsan.
“Kami tahu beliau telah bekerja keras untuk peluang ini. Ini adalah wadah yang hebat baginya untuk menguji kemampuan diri serta berkembang dengan lebih jauh sebagai seorang pemain, dan ini sudah pasti memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak bersama kelab Liga J3 berkenaan pada 7 Julai, dan terus menyertai kem latihan pramusim bersama pasukan di Okinawa.
Ikhsan menjadi pemain Singapura pertama beraksi dalam liga Jepun menerusi penampilan selama 20 minit sebagai pemain pengganti, ketika tewas 0-1 di padang lawan kepada Kagoshima United pada 8 Ogos.
Bekas pemain pertahanan Singa, Anders Aplin, merupakan pemain pertama negara ini yang menyertai kelab liga Jepun apabila dipinjamkan ke kelab divisyen dua ketika itu, Matsumoto Yamaga, pada 2018, namun tidak mendapat peluang untuk beraksi.
Ikhsan terlepas saingan Singapura dalam Piala Asean Hyundai kerana kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain bagi kejohanan yang dianjurkan di luar kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Ikhsan, yang mempunyai 49 penampilan dan 23 gol antarabangsa, berkata:
“Saya agak terkilan kerana tidak dapat bersama pasukan bagi Piala Asean, tetapi saya sangat bangga dengan persembahan skuad (Singa). Semangat juang dan kesungguhan mereka jelas terpancar, dan saya sangat gembira melihat sorakan gemuruh kembali memeriahkan bola sepak Singapura.
“Bagi saya, ini hanya permulaan perjalanan saya di Jepun, dan banyak perkara yang perlu saya perbaiki jika saya ingin memberi impak besar di sini. Latihan dan perlawanan di sini dilakukan dengan intensiti yang tinggi.
“Sama seperti di liga Norway, pemain di sini mampu berlari (dengan hebat). Sambil saya menyesuaikan diri dengan liga dan corak permainan di sini, saya berharap dapat memberikan sumbangan lebih besar kepada pasukan.”
Antara penyerang terkemuka Singapura, Ikhsan hanya beraksi di luar negara selepas tempoh singkat di Singapura bersama Home United dan Young Lions pada awal kerjaya seniornya.
Beliau merupakan pemain Singapura pertama bertanding di Norway, di mana beliau mencatat 16 gol dan satu bantuan gol untuk kelab divisyen dua, Raufoss dan Jerv, dari 2019 hingga 2021.
Ikhsan kemudian berhijrah ke Thailand dan mencatat 100 perlawanan merentasi lima musim bersama pasukan Liga 1 Thailand, BG Pathum United.
Meskipun dibelenggu kecederaan lutut semasa di Thailand, beliau tetap berjaya mengumpul 50 gol dan lima bantuan gol.
Pada musim terakhirnya di Thailand, beliau turut dipinjamkan ke Ratchaburi FC, di mana beliau menjaringkan tujuh gol dalam 12 perlawanan.
Menyusuli penampilan sulungnya di Jepun, Ikhsan beraksi selama 29 minit ketika tewas 1-4 di padang sendiri kepada SC Sagamihara pada 15 Ogos sebelum menemui sasaran apabila menentang Shiga pada 22 Ogos.
“
“Bagi saya, ini hanya permulaan perjalanan saya di Jepun, dan banyak perkara yang perlu saya perbaiki jika saya ingin memberi impak besar di sini. Latihan dan perlawanan di sini dilakukan dengan intensiti yang tinggi... Sambil saya menyesuaikan diri dengan liga dan corak permainan di sini, saya berharap dapat memberikan sumbangan lebih besar kepada pasukan.”
