Hanya dua minggu memisahkan pasukan bola sepak wanita Singapura dengan cabaran yang dinanti-nantikan di Sukan Asia Hangzhou.
Berita Harian mengajak anda menjejaki persiapan pasukan itu menerusi lensa pemain midfield Farhanah Ruhaizat.
Dalam satu siri video, Farhanah membawa BH ke balik tabir persiapan skuad Singa wanita itu bagi temasya sukan di China dari 23 September hingga 8 Oktober itu.
Perhentian pertama ialah Pusat Latihan Geylang, tempat latihan pasukan nasional di bawah kendalian ketua jurulatih Karim Bencherifa.
Seramai 29 pemain disenaraikan untuk dipilih bagi mewakili Singapura di Sukan Asia ke-19 itu. Mereka berlatih bersama hampir setiap hari sejak 29 Ogos, dengan tahap intensiti latihan kini terus dipertingkat.
Bencherifa mengekalkan pemain utama yang menyertai Sukan SEA 2023 pada Mei dalam senarai skuadnya, seperti kapten Rosnani Azman dan Noor Kusumawati.
Seramai 20 pemain bagi skuad muktamad akan dinamakan sebelum pasukan Singapura berangkat pada 20 September.
Singapura akan menentang juara Sukan Asia tiga kali Korea Utara sebanyak dua kali dalam Kumpulan C pada 24 dan 27 September.
Ini selepas Kemboja menarik diri daripada temasya sukan itu.
Bola sepak wanita diperkenal dalam Sukan Asia buat kali pertama pada 1990, tetapi pasukan wanita Singapura tidak pernah mengambil bahagian dalam lapan kejohanan lalu.