Apabila Ilhan Fandi meninggalkan Singapura pada penghujung 2022 untuk menyertai kelab Belgium, KMSK Deinze, ramai melihat beliau sebagai penyerang tempatan yang berpotensi mengikut jejak bapanya, Fandi Ahmad, beraksi di luar negara.

Selain daripada itu Ilhan juga menyarung jersi BG Pathum dan Buriram United di Liga Thailand.

Selepas menimba pengalaman beberapa tahun di liga luar negara Ilhan kembali ke Liga Perdana Singapura (SPL).

Namun bagi penyerang itu, kepulangan ke Singapura bersama Lion City Sailors bukan bermakna impian bermain di luar negara sudah berakhir.

Sebaliknya, ia adalah langkah yang perlu diambil bagi memastikan beliau kembali memperoleh satu perkara yang paling penting dalam fasa kerjayanya ketika ini – minit permainan yang konsisten.

“Prestasi saya meningkat sebagai pemain dan juga sebagai seorang individu melalui pengalaman bermain di luar negara,” kata Ilhan selepas menyertai Sailors pada 20 Julai.

“Tetapi saya rasa ini adalah projek yang tepat untuk saya pada tahap kerjaya saya sekarang.”

“Dengan Piala Asia yang semakin hampir, penting untuk saya bermain secara konsisten dan terus membina rentak.”

Namun, penyerang berusia 23 tahun itu menegaskan bahawa beliau bukan di sini sekadar persiapan untuk Piala Asia pada awal 2027.

“Saya perlu adil kepada Lion City Sailors, saya tidak akan datang hanya untuk bermain di Piala Asia dan meninggalkan mereka,” katanya.

Ilhan menandatangani kontrak dua tahun bersama Sailors, melebihi tempoh Piala Asia pada awal 2027.

Beliau juga mendedahkan beliau sebenarnya menerima beberapa tawaran untuk terus kekal beraksi di luar negara.

Namun, peluang untuk beraksi secara tetap, ditambah dengan cita-cita besar Sailors di peringkat domestik dan Asia, menjadi faktor utama di sebalik keputusannya pulang ke tanah air.

Sebelum memikirkan Piala Asia 2027 atau cabaran bersama Sailors, tumpuan Ilhan kini hanya terarah kepada membantu Singapura mendapatkan kemenangan di Stadium Jalan Besar menentang Timor-Leste.

Penyerang skuad kebangsaan, Ilhan Fandi (kanan), bersama kapten Singa, Hariss Harun sebulat suara menekankan sikap jangan pandang remeh pasukan menjelang Piala Asean Hyundai.
Penyerang skuad kebangsaan, Ilhan Fandi (kanan), bersama kapten Singa, Hariss Harun sebulat suara menekankan sikap jangan pandang remeh pasukan menjelang Piala Asean Hyundai. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Beliau percaya kem latihan di Okinawa, Jepun, telah menyiapkan skuad negara dengan baik.

“Kami bermain menentang lawan-lawan yang kuat untuk menguji diri sendiri,” katanya kepada Berita Harian (BH).

“Seperti yang Hariss (Harun) katakan, saya rasa kami lebih kuat sebagai satu pasukan sekarang.”

Kini, beliau lebih menghargai pentingnya menikmati setiap peluang yang diberikan bersama skuad kebangsaan.

“Saya rasa saya sudah terlepas dua atau tiga edisi kejohanan Asean sebelum ini, jadi saya sangat gembira dapat kembali bermain dalam kejohanan ini. Saya hanya mahu menikmati setiap detik.”

Di dalam skuad, Ilhan kini bukan sahaja bergandingan dengan Hariss di padang dan di Sailors. Kedua-duanya juga berkongsi bilik sepanjang kem kebangsaan.

Menurut Ilhan, di sebalik imej Hariss sebagai seorang pemimpin yang serius ketika perlawanan, kapten Singapura itu sebenarnya seorang yang gemar bergurau.

“Semua orang mengenalinya sebagai seorang yang sangat serius di atas padang, tetapi di luar padang dia sebenarnya seorang yang suka bergurau. Saya pun memang suka bergurau, sebab itu kami serasi.

“Tetapi kami juga tahu bila masanya untuk bergurau dan bila masanya untuk serius. Kami berkongsi cita-cita yang sama apabila berada di atas padang, iaitu sentiasa mahu menang,” tambah Ilhan.

Hubungan itu juga menjadi antara sebab beliau lebih mudah membuat keputusan menyertai Sailors.

“Sebelum saya menyertai Sailors, saya bercakap dengan Hariss dan Song Ui-young mengenai kelab itu.

“Mereka hanya bercakap perkara yang baik. Mempunyai dua rakan rapat di sana benar-benar memudahkan saya menyesuaikan diri,” kata Ilhan.

Walaupun Singapura dianggap sebagai pasukan pilihan menentang Timor-Leste, Ilhan enggan memandang rendah mana-mana lawan.

“Bagi saya, dalam kejohanan seperti ini tiada negara yang mudah. Setiap pasukan mempunyai ancaman dan gaya permainan yang berbeza, jadi kami perlu menyesuaikan diri.

“Kami hanya mahu fokus kepada diri sendiri dan mengharungi kejohanan ini satu perlawanan demi satu perlawanan,” ujarnya.

Kempen Piala Asean kali ini bukan sekadar peluang buat Singapura memburu kejuaraan serantau.

Bagi Ilhan, ia juga peluang untuk mengembalikan rentak yang pernah membawanya ke Belgium, mengharungi cabaran di Thailand dan akhirnya muncul sebagai wira dalam kemenangan bersejarah Singapura ke atas Hong Kong yang memastikan tempat ke Piala Asia 2027.

Singapura berada dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Timor-leste, Vietnam dan Indonesia.

Pasukan negara menang perlawanan pembukaan dengan menundukkan Kemboja 2-1 pada 24 Julai, hasil jaringan cantik Ilhan pada saat-saat akhir perlawanan.

Selepas Kemboja pasukan Singa akan berdepan Timor-Leste di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai, sebelum menentang Vietnam pada 31 Julai dan Indonesia pada 7 Ogos.

Hanya dua pasukan teratas akan mara ke pusingan separuh akhir.

Separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik dengan perlawanan pertama berlangsung pada 15 atau 16 Ogos dan perlawanan timbal balik akan dimainkan pada 18 atau 19 Ogos.

Peringkat final juga akan dimainkan secara timbal balik dan akan berlangsung pada 23 dan 26 Ogos.