Topik diikuti
Pergi ke BHkuIlhan Fandi kembali ke Liga Perdana S’pura dengan lebih semangat
Ilhan Fandi kembali ke Liga Perdana S’pura dengan lebih semangat
Ilhan Fandi kembali ke Liga Perdana S’pura dengan lebih semangat
Kali terakhir Ilhan Fandi beraksi di Liga Perdana Singapura (SPL) adalah pada 2022.
Musim itu, beliau dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik dengan menjaringkan 17 gol dan memainkan peranan penting membantu Albirex Niigata (kini FC Jurong) merangkul gelaran juara.
Lebih tiga tahun kemudian, pemain berusia 23 tahun itu kembali ke SPL dengan semangat “lebih membara daripada sebelumnya”, selepas menempuh tempoh bermain di Belgium dan Thailand. Beliau kini menandatangani kontrak dua tahun dengan juara bertahan, Lion City Sailors.
Dalam satu temu bual dengan The Straits Times (ST) di ibu pejabat Sailors di Mattar Road sebelum pelancarannya secara rasmi pada 20 Julai, Ilhan mempamerkan senyuman manisnya.
Ditanya mengenai perbezaan antara dahulu dengan sekarang, beliau berkata: “Saya rasa lebih bersemangat daripada sebelumnya kerana apa yang saya ada di hadapan saya adalah sesuatu yang istimewa. Saya rasa tiada tempat yang lebih baik. Persekitaran di sini sangat hebat, kemudahan bertaraf tinggi, semuanya ada untuk membolehkan anda tampil dengan persembahan terbaik.
“Saya amat bermotivasi untuk datang ke sini dan tampil cemerlang untuk Lion City Sailors dan bola sepak Singapura, dan juga untuk matlamat peribadi saya.”
Dengan masa bermain menjadi keutamaan utama, Ilhan menolak tawaran daripada Eropah, Asia dan Thailand – di mana beliau bermain pada musim sebelumnya bersama juara Liga Thai 1 dan Piala FA, Buriram United.
Perjalanannya sejak meninggalkan Singapura tidak berjalan lancar, bermula dengan pasukan divisyen kedua Belgium yang kini sudah tidak wujud, KMSK Deinze, pada 2023, ketika beliau sedang pulih daripada kecederaan lutut yang serius dan bergelut untuk mendapat masa bermain bersama pasukan pertama.
Beliau juga hampir tidak mendapat masa bermain apabila menyertai kelab Thailand, BG Pathum United, pada Julai 2024, dan hanya membuat enam penampilan liga bersama Buriram pada musim 2025-26.
Namun, pada 2025 jugalah Ilhan menunjukkan keupayaannya bermain untuk pasukan Singa.
Masuk sebagai pemain pengganti pada separuh masa kedua, beliau menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan dalam tempoh 28 minit beraksi, ketika Singapura menewaskan Hong Kong 2-1 di padang lawan untuk mengesahkan kelayakan sulung ke Piala Asia.
Beliau kemudian keluar padang dengan tempang akibat kecederaan buku lali dan beliau tidak dapat beraksi selama hampir tiga bulan.
Piala Asia akan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari, dengan pasukan Singa berada dalam Kumpulan D bersama pasukan Piala Dunia, Australia dan Iraq, serta Tajikistan. Dengan kejohanan itu kian menghampiri, Ilhan berkata beliau berfikir panjang mengenai langkah seterusnya.
“Saya mahu berada dalam momentum dan ketajaman terbaik menjelang (Piala Asia), dan pada musim lepas, saya tidak dapat memperoleh momentum, saya (tidak selalu) bermain dan kemudian saya mengalami kecederaan malang, jadi saya tidak dapat benar-benar memperoleh rentak permainan yang baik,” kata Ilhan.
