Memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya semakin menjadi tanda dagang Ilhan Fandi.

Pemain berusia 24 tahun itu pada awalnya tidak berada dalam kesebelasan utama Lion City Sailors bagi perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang pasukan Thailand, BG Pathum United, pada 26 November.

Namun, kecederaan yang dialami rakan penyerang, Lennart Thy, ketika sesi pemanas badan di Stadium Pathum Thani di Thailand menyebabkan Ilhan mendapat tempat dalam kesebelasan utama pada saat akhir.

Bahkan, beliau hanya mengambil masa lima minit untuk membuktikan pemilihan tersebut berbaloi.

Setelah menerima hantaran tarik ke belakang (cut-back) daripada Diogo Costa, Ilhan menyudahkan peluang dengan penuh bergaya - meledakkan gol pembukaan menggunakan kaki kiri ketika Sailors meraih kemenangan 3-0 yang membantu mereka kembali ke peringkat kalah mati ACL2.

Di hadapan kira-kira 50 penyokong Sailors dalam kalangan 5,517 penonton, Ilhan kemudian meraikan jaringan tersebut dengan meniru aksi meletupkan bom tangan.

Ini sekali gus menambah reputasinya yang semakin menyerlah sebagai pemain pengubah permainan, susulan kemunculan singkat menjaringkan gol dalam kemenangan 2025 ke atas Hong Kong yang membantu Singapura layak ke Piala Asia.

Kali ini, gol awalnya memberikan kelebihan psikologi kepada Sailors, yang sebenarnya hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sebagai pelengkap kemenangan, mereka menambah dua lagi gol menerusi Hugo Gomes (minit ke-72) dan Matthias Phaeton (minit ke-90).

Ilhan berkata: “Apabila saya masuk ke bilik persalinan, jurulatih bertanya sama ada saya sudah bersedia dan saya menjawab saya sudah bersedia. Memang malang bagi Lenny (Thy), tetapi sebagai seorang pemain, saya hanya mahu membantu pasukan apabila dipanggil dan saya sangat gembira dapat menyumbang hari ini.

“Setiap pasukan dalam pertandingan ini bukan mudah. Kita tidak boleh mengendurkan usaha, kita perlu merendah diri, terus bekerja keras dan semoga kita dapat melangkah jauh dalam kejohanan ini.”

Kemenangan itu juga membantu Sailors mengesahkan kedudukan teratas dalam Kumpulan F dengan 13 mata daripada lima perlawanan, menjelang aksi penutup di Stadium Jalan Besar pada 3 Disember menentang wakil Hong Kong, Tai Po, yang dibelasah 7-1 oleh Adelaide.

Pathum pula perlu menang di tempat Adelaide untuk mara sebagai naib juara kumpulan.

Jurulatih Sailors, Mark Jackson, memberikan pujian kepada semua pihak di kelab tersebut, termasuk kakitangan dan penyokong.

Beliau berkata: “Ia adalah persembahan berpasukan sepanjang perlawanan.

“Kami banyak menekankan aspek fizikal permainan kami dan para pemain melaksanakan setiap elemen itu dengan sangat baik... dan mereka mempamerkan aksi yang cukup hebat.

“Sangat bagus kerana kami berjaya mengesahkan kelayakan ke pusingan seterusnya dan mendengar bahawa kami adalah pasukan Singapura pertama yang memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan ACL2 di tempat lawan.”