Matanya berkilau penuh harapan dan senyuman kembali terukir di wajah Ilhan Fandi, namun di sebalik keceriaan itu, tersembunyi tekad untuk membina semula kerjaya bola sepaknya, yang terjejas teruk akibat kecederaan.
“Sangat sukar tidak dapat bermain bola sepak bagi pasukan utama selama lebih setahun, jadi saya berasa gembira dapat bermain secara konsisten semula,” jelas penyerang berusia 22 tahun itu kepada The Straits Times menjelang perlawanan pembukaan kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong di Stadium Negara pada 25 Mac.
Ilhan pernah mengecap puncak kejayaan pada 2022.
Beliau memenangi Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Albirex Niigata, dengan menjaringkan 18 gol dan merintis empat peluang jaringan dalam 24 perlawanan.
Selain terpilih dalam Pasukan Terbaik SPL tahun itu, beliau meraih anugerah Pemain Muda Terbaik SPL dan Gol Terbaik 2022.
Pada usia 20 tahun, beliau dilamar pasukan divisyen dua Belgium, KMSK Deinze, dan dianggap sebagai bintang bola sepak baru.
Bersama pasukan Singa, beliau menjaringkan dua gol dalam tujuh penampilan sebelum rentak kejayaannya terbantut.
Beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior atau ACL, salah satu tisu utama pada lutut kirinya, ketika menentang Vietnam dalam perlawanan kumpulan Kejuaraan Asean yang diadakan di padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar pada 30 Disember 2022.
Ilhan mengambil masa sembilan bulan untuk kembali bermain bola sepak secara kompetitif pada 2023, dan menjaringkan lapan gol dalam 15 perlawanan untuk pasukan Bawah 21 Tahun Deinze.
Namun, beliau hanya diberi peluang bermain selama lima minit dengan pasukan utama Deinze.
“Sukar untuk mengubah pasukan yang sedang bermain dengan baik. Saya berlatih dengan baik dan terus memperbaiki diri, tetapi saya tidak diberi banyak peluang bermain dengan pasukan senior.
“Ia banyak menguji mentaliti saya... Saya mula berasa sedih dan menjadi negatif. Namun, saya bersyukur dikelilingi keluarga, rakan-rakan dan orang yang baik, yang memberi saya semangat untuk terus tersenyum,” tambah Ilhan.
Meluahkan keperluan untuk menikmati semula kerjaya bola sepaknya, penyerang setinggi 1.83 meter itu menyertai BG Pathum United dari Thailand.
Beliau menandatangani kontrak empat tahun pada Julai 2024 selepas menolak tawaran kontrak dua tahun daripada Deinze.
Keputusan beliau ke BG Pathum membantu beliau mengelak daripada masalah besar kerana kelab Belgium itu diisytiharkan muflis oleh mahkamah tempatan di Ghent hanya lima bulan kemudian.
“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Saya percaya saya kini lebih kuat dari segi fizikal dan mental berbanding sebelum saya cedera,” kata Ilhan.
Kini, beliau berada dalam rentak permainan yang baik, menjaringkan lima gol dan merintis empat gol dalam 22 perlawanan untuk BG Pathum, yang kini berada di tempat ketiga dalam Liga Thai 1.
“Saya sedang bermain dengan baik di BG sekarang. Kami mempunyai jurulatih baru, Anthony Hudson, yang banyak memberi kepercayaan kepada saya dan melihat saya sebagai pemain yang boleh mengubah perlawanan.
“Namun, saya sedar saya sedang bersaing dengan ramai pemain profesional hebat dan saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan peluang bermain.
“Saya percaya, suatu hari nanti, saya masih boleh bermain di Eropah lagi atau di Jepun jika saya terus beraksi dengan baik,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg