Persembahan pasukan Singa mengecewakan menjelang permulaan kempen kelayakan Piala Asia pada 25 Mac.
Anak didik Tsutomu Ogura terpaksa menelan kekalahan 1-0 di tangan pasukan yang mempunyai ranking dunia Fifa 15 tangga di bawah mereka.
Bercakap di persidangan media selepas perlawanan, Ogura berkata: “Jikalau kami bermain sebegini, kami tidak akan dapat kalahkan apa jua pasukan. Prestasi mereka apabila dikalahkan 7-0 oleh Korea Selatan lebih baik daripada prestasi hari ini.”
Seperti dalam perlawanan-perlawanan yang sebelum ini, prestasi Singa pada separuh masa pertama hambar sekali lagi.
Nepal memulakan perlawanan dengan baik, dan hanya mengambil masa kurang dari dua minit untuk penyerang mereka, Gillespye J Karki, melepasi baris pertahanan Singa dengan mudah, dan menghasilkan hantaran silang yang mujurnya berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Singa.
Sorakan padu dan kuat penyokong Nepal mendorong pasukan mereka untuk terus mengancam Singapura.
Nepal pula bermain dengan lebih kebebasan berbanding dengan pasukan Singa.
Pasukan kendalian Ogura, cuba membalas serangan Nepal tetapi hantaran Ryhan Stewart hanya ditemui dakapan penjaga gawang Nepal, Kiran Chemjong.
Ini membenarkan Nepal untuk menghasilkan serangan balas pantas yang menyaksikan Gillespye menjaringkan gol dan mendapatkan kelebihan yang mengejutkan dalam menentang Singapura.
Singapura cuba mencari gol penyamaan, tetapi hantaran dan percubaan Singa juga tidak temui sasaran dan mudah dihalang oleh pertahanan Nepal.
Kyoga Nakamura memberikan hantaran hebat kepada Ryhan yang berjaya melepasi bek kanan Nepal, tetapi percubaannya di selamat kan oleh Kiran.
Beberapa minit kemudian pasukan Singa menghasilkan gerakan hebat gabungan Akram Azman dan Abdul Rasaq yang temui Harhys di luar kotak penalti.
Beliau berjaya melepaskan rembatan kencang tetapi percubaannya terkena Ryhan.
Nepal pula mempertahankan kelebihan mereka dengan bermati-matian, dengan hampir semua pemain mereka di kotak penalti.
Singapura seperti hanya dapat menguasai sekadar kawalan bola pada separuh masa pertama, yang berakhir 1-0 memihak Nepal.
Ia jelas bahawa Singa masuk semula perlawanan pada separuh masa kedua dengan matlamat yang jelas, iaitu untuk mendapatkan gol, dan kebanyakan separuh masa kedua dimainkan di bahagian Nepal.
Ogura cuba memperkukuhkan lagi serangan beliau dengan memasukkan Faris Ramli dan Ilhan Fandi pada minit ke-55.
Faris mengawal bola dengan baik di luar kotak penalti dan menghasilkan percubaan, tetapi tendangannya terlalu lemah dan mudah dikumpul oleh Kiran.
Pada minit ke-67, Chris Van Huizen menghantarkan bola hebat kepada Ilhan tetapi beliau didapati ofsaid oleh pengadil perlawanan.
Hanya beberapa minit kemudian, Ilhan memenangi tendangan percuma di luar kotak penalti,dengan bijak tetapi percubaannya terlepas sasaran.
Pada minit ke-80, tendangan percuma Shah Shahiran temui kepala Safuwan Bahrudin tetapi tandukannya tidak temui penyerang Singa.
Pada masa tambahan pula, tendangan percuma Faris Ramli hanya terkena palang gol.
Percubaan sedaya upaya Singapura, setiap ancaman yang dilontarkan kepada Nepal, dapat dibalas dengan teguh.
Akhirnya pasukan Singa terpaksa menelan kekalahan dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka menjelang kelayakan Piala Asia.
Walaupun mengecewakan, tumpuan harus diberikan kepada perlawanan seterusnya pada 25 Disember, di mana Singapura menentang Hong Kong di Stadium Negara.
Pasukan kendalian Ogura harus mencari jalan untuk tingkatkan prestasi mereka ataupun penyokong Singapura harus bersiap sedia untuk mengalami kempen kelayakan Piala Asia yang mengecewakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg