NOTTINGHAM: Aspirasi Manchester City menjadi juara terjejas teruk pada 7 November apabila ia tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana England (EPL).

Ini selepas ia dibolosi dua kali pada separuh masa pertama sebelum tewas 1-3 di tangan Nottingham Forest di City Ground, sekali gus ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Arsenal.

City memulakan kempen dengan mencatat tujuh kemenangan berturut-turut, namun mereka tewas 1-2 di tempat lawan kepada Aston Villa, sebelum tewas 0-1 di halaman sendiri kepada Brighton and Hove Albion.

Juara bertahan Arsenal mendahului carta dengan 27 mata selepas 10 perlawanan dan jurulatih City, Enzo Maresca, menyalahkan masalah kekurangan intensiti apabila Forest menjaringkan gol pertama di halaman sendiri dan meraih kemenangan pertama di halaman sendiri musim ini.

“Pada separuh masa pertama, apabila anda tidak mempunyai intensiti, apabila anda tewas dalam semua perebutan bola, ia sukar, dan apabila kami mahu bangkit, kami dapati ia agak sudah terlewat.

“Dalam perlawanan sebegini, pertama sekali, anda perlu menandingi kegigihan pihak lawan. Anda perlu cuba memenangi perebutan bola dan jika tidak, ia menjadi rumit.

“Saya fikir di peringkat separuh masa pertama kami tidak cukup baik dari segi perebutan bola. Kami tewas kesemuanya dan apabila kami cuba bertindak balas, kami sudah ketinggalan 2-0, dan dalam bola sepak, memang sukar (untuk merapatkan kedudukan),” kata Maresca kepada Sky Sports.

City menghadiahkan bola dengan mudah bagi ketiga-tiga gol yang dibolosi, dengan penyerang Liam Delap – yang hanya menjaringkan satu gol dalam lapan perlawanan liga musim ini – meledakkan dua jaringan sensasi untuk membawa pasukannya kepada kemenangan.

“Ia sudah lama dinantikan, dan kami telah mempamerkan prestasi sebegitu setiap minggu tetapi gagal menyumbatkan bola masuk ke gawang. Hari ini kami membuktikan kami mampu menyepaknya masuk ke jaring jadi kami semua gembira.

“Kami melakukan segalanya dengan betul, kami meraih tiga mata dan kami gembira memasuki tempoh rehat perlawanan antarabangsa,” kata Delap.

Jurulatih Forest, Oliver Glasner, berlari di tepi padang untuk meraikan gol kedua Delap, dan beliau tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila pasukannya melonjak ke tangga ke-16 dengan sembilan mata, keluar dan terselamat daripada zon penyingkiran.

“Ia adalah hari yang amat baik untuk menentang Manchester City tetapi, secara jujurnya, hari ini, tenaga dalam pasukan dan semangat kami di padang begitu luar biasa sehingga sukar bagi setiap pasukan di dunia untuk menentang kami hari ini.

“Segala penghargaan seharusnya diberikan kepada para pemain dan penyokong kami atas malam Sabtu yang luar biasa ini,” kata Glasner, yang begitu teruja dengan prestasi cemerlang pasukan bimbingan itu. – Reuters.

“

Saya fikir di peringkat separuh masa pertama kami tidak cukup baik dari segi perebutan bola. Kami tewas kesemuanya dan apabila kami cuba bertindak balas, kami sudah ketinggalan 2-0, dan dalam bola sepak, memang sukar (untuk merapatkan kedudukan).”
Enzo Maresca, jurulatih Manchester City.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti