LONDON: Mikel Arteta berkata kekuatan skuad Arsenal akan menjadi kunci untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana mereka, selepas Noni Madueke masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest pada 18 Oktober.

Pasukan Arteta jauh di bawah prestasi terbaik mereka di City Ground dan tidak melepaskan sebarang rembatan tepat ke gawang sehingga Madueke menjaringkan gol kemenangan 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Walaupun pasukan Gunners kurang mempamerkan permainan yang menarik di East Midlands, mereka tidak terlalu bimbang kerana mereka hanya tiga mata di belakang pendahulu carta, Manchester City.

Arteta mempunyai antara pemain simpanan terbaik dalam divisyen teratas, dan beliau menggunakan mereka sepenuhnya untuk mengubah keadaan perlawanan di tebing Sungai Trent. 

Yang penting, beliau menurunkan Madueke menggantikan Eberechi Eze yang kurang meyakinkan pada separuh masa.

Beliau turut memasukkan Mikel Merino, Viktor Gyokeres dan Jurrien Timber apabila separuh masa kedua berlangsung.

Madueke menjadi penentu kemenangan apabila beliau bergerak masuk dari sayap kiri dan melepaskan rembatan kencang pada minit ke-80. Bola itu melencong lalu melepasi penjaga gol Forest, Matz Sels. 

“Kami terpaksa berusaha sehingga saat terakhir. Mereka pasukan yang dilatih dengan baik dan sukar ditembusi. Kami terpaksa mengambil risiko, mereka pasukan yang berbahaya,” kata Arteta.

“Kami perlu menguruskan aspek emosi dengan sangat baik. Kami kekal fokus dan pemain-pemain yang masuk pada penghujung perlawanan memberi kesan yang besar.”

Arsenal kini berada dalam jadual yang padat, termasuk kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Lille pada pertengahan minggu dan perjalanan ke Bayern Munich pada 21 Oktober.

Keupayaan Arteta merehatkan pemain utama tanpa melemahkan pasukannya dengan ketara mungkin menjadi faktor besar dalam perebutan gelaran.

“Sebahagian daripada mereka bermain tiga hari lalu dan sebahagian lagi akan bermula dalam perlawanan seterusnya, dan mereka tahu semua orang mesti bersedia,” katanya.

“Anda mungkin diperlukan selepas 60 minit, 45 minit dan kadangkala dua minit. Kami kini mempunyai skuad yang boleh memberi sumbangan pada saat penting dan kami mesti menggunakannya.

“Noni, Jurrien, Mikel sangat hebat apabila masuk dan Viktor benar-benar mengubah perlawanan. Semua mereka berbuat demikian dan itulah yang kami perlukan.

“Noni sudah tentu menjadi sorotan kerana beliau menjaringkan gol dan itulah perbezaannya,” tambah Arteta.

Selepas kekalahan mengejut 0-3 di Brighton pada 19 September, Arsenal yang kini di tangga kedua bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut.

Pasukan dari utara London itu belum dapat mengembalikan konsistensi tanpa henti yang membawa mereka merangkul gelaran pertama dalam 22 tahun musim lalu.

Namun, mereka masih mempunyai keupayaan tidak ternilai untuk meraih kemenangan, dan ini kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan liga.

“Kadangkala anda boleh berasa kecewa dengan pasukan yang sukar ditembusi. Pada separuh masa pertama kami tiada rembatan tepat ke gawang dan itu sesuatu yang kami bincangkan,” kata Arteta.

“Kami mendapat dua lagi peluang besar pada separuh masa kedua, tetapi satu-satunya yang tepat ke gawang ialah rembatan yang melencong sedikit, dan ia masuk.” - AFP