Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mempertahankan anggotanya, Encik Ng Ser Miang, yang juga mantan naib presiden, berikutan dakwaan ada potensi konflik kepentingan dalam inisiatif sukan elektronik, atau e-sukan, dan kegiatan perniagaan yang berkaitan.
Ini menyusuli laporan akhbar penyiasatan Jerman Sport & Politics pada 12 Ogos, yang mendakwa pentadbir sukan veteran itu telah “mencampur adukkan jawatannya dengan perniagaan keluarga dalam beberapa aspek berkaitan dengan e-sukan, Minggu E-Sukan Olimpik dan Pertandingan E-Sukan Olimpik”.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, jurucakap IOC berkata: “Selama bertahun-tahun, semua anggota IOC dikehendaki mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat, organisasi sukan dan entiti bukan mencari keuntungan.
“Ini bertujuan mengelakkan sebarang risiko atau berlaku konflik kepentingan apabila IOC terlibat dengan mana-mana pihak ketiga.
“Encik Ng, seperti semua anggota IOC, telah menunaikan kewajipannya. Oleh itu, dakwaan yang dibuat dalam laporan itu adalah tidak berasas kerana kerana terdapat ketelusan penuh melalui Borang Pengisytiharan Kepentingan IOC.”
Laporan oleh Sport & Politics memperincikan aduan kepada Suruhanjaya Etika IOC terhadap Encik Ng yang telah menjadi anggota IOC sejak 1998 dan berkhidmat dua penggal sebagai naib presiden dari 2009 hingga 2013 dan 2020 hingga 2024.
Difailkan pada 26 Jun oleh firma undang-undang di London, Joseph Hage Aaronson & Bremen, bagi pihak pelanggan yang identitinya tidak didedahkan, ia mendakwa Encik Ng menggunakan pelbagai jawatannya dalam jawatankuasa Olimpik dan e-sukan, serta persekutuan sukan kebangsaan dan antarabangsa, untuk mempengaruhi pemilihan pertandingan e-sukan untuk acara Olimpik akan datang.
Ia menyebut kemasukan acara taekwondo maya pada Minggu Sukan Olimpik pada Jun 2023 di Singapura, dengan menyatakan ia dianjurkan dan dimiliki oleh Refract Technologies, yang mana anak lelaki Encik Ng, iaitu Encik Chong Geng, berkhidmat sebagai pengarah.
Jurucakap IOC menegaskan bahawa Encik Ng tidak terlibat secara langsung dalam pembangunan e-sukan dengan organisasi itu sehingga baru-baru ini.
Suruhanjaya E-Sukan menyelia Siri Maya Olimpik 2021 dan Siri Esports Olimpik 2023, yang memuncak pada Minggu Sukan Olimpik di Singapura.
“Semua keputusan penting mengenai Siri Maya Olimpik 2021 dan Siri E-Sukan Olimpik 2023, termasuk pemilihan acara pertandingan dibuat oleh Lembaga Eksekutif IOC,” tambah jurucakap itu.
Mengenai aduan berhubung peranan Encik Ng dalam penubuhan Sukan E-Sukan Olimpik untuk edisi sulung di Riyadh, Arab Saudi, pada 2027, IOC menyatakan beliau dilantik kerana kepakarannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg