Irfan Fandi kembali, Singa tampil 26 pemain menentang Bangladesh
Irfan Fandi kembali, Singa tampil 26 pemain menentang Bangladesh
Pemain pertahanan Irfan Fandi, kembali menyarung jersi Singapura apabila skuad Singa dijadual berdepan Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia AFC pada 31 Mac.
Beliau yang kini bermain dengan kelab Thailand, Port FC merupakan antara 26 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 17 Mac bagi menghadapi aksi penting tersebut.
Turut kembali memperkukuh benteng pasukan kebangsaan ialah pemain pertahanan,Nur Adam Abdullah, yang dipanggil semula buat kali pertama sejak November 2024, sekali gus menambah pilihan buat ketua jurulatih, Gavin Lee, menjelang pertemuan itu.
Penyerang Abdul Rasaq Akeem, yang di pinjamkan ke Albirex Niigata secara pinjaman dari Lion City Sailors, juga mencuri tumpuan dalam usaha menajamkan jentera serangan skuad Singa.
Perlawanan kelayakan tersebut akan berlangsung di Stadium Negara dan merupakan aksi penutup kempen Singapura.
Skuad negara sebelum ini telah mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong pada November 2025.
Kemenangan tersebut bermakna kedudukan di tangga teratas kumpulan C tidak lagi dapat dikejar oleh Hong Kong di tempat kedua.
Walaupun ketinggalan tiga mata, Hong Kong sebelum ini mencatat satu kekalahan dan satu keputusan seri ketika menentang Singapura, dan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan menjadi penentu utama jika mata terikat.
Sepanjang kempen kelayakan Piala Asia tersebut, pasukan Singa berjaya peroleh tiga kemenangan, ke atas Hong Kong (2-1), India (2-1) dan Bangladesh (2-1) dan seri dua perlawanan.
Mengulas persiapan pasukan, Gavin Lee menegaskan bahawa fokus pasukan kekal tidak berubah walaupun sudah layak.
“Pendekatan kami tetap sama, setiap perlawanan adalah penting,” katanya.
“Kami mahu mengekalkan momentum dan menamatkan kempen ini dengan prestasi yang positif, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.”
Pemain tengah Singa, Shah Shahran, turut menekankan akan pentingnya perlawanan menentang Bangladesh itu.
“Pada pandangan saya, perlawanan terpenting buat masa sekarang adalah perlawanan menentang Bangladesh kerana ia juga menjadi medan penting untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan yang akan datang,” katanya.

