Latihan pusat di Dubai skuad Singa jadi tanda tanya
Konflik Timur Tengah dorong FAS semak rancangan adakan kem latihan di Dubai mulai 18 Mac, perlawanan persahabatan dengan Kepulauan Faroe pada 26 Mac
Rancangan pasukan bola sepak nasional untuk mengadakan kem latihan pusat di Dubai pada Mac ini mungkin tidak menjadi realiti menyusuli konflik yang tercetus di Timur Tengah sejak 28 Februari.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memberitahu Berita Harian (BH) bahawa ia sedang menyemak semula rancangannya itu yang turut melibatkan perlawanan persahabatan dengan Kepulauan Faroe di sana.
“Semua perlawanan yang melibatkan pasukan melakukan perjalanan ke atau dari Timur Tengah, termasuk perlawanan persahabatan yang dijadualkan antara pasukan nasional Singapura dengan Kepulauan Faroe di Dubai sedang dinilai semula.”
“Keselamatan dan kebajikan pemain, barisan kejurulatihan, pegawai serta penyokong sentiasa menjadi keutamaan kami.”
Singapura dijadualkan mengadakan kem latihan pusat di Dubai bermula 18 Mac, termasuk satu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Faroe pada 26 Mac di Stadium Shabab Al Ahli, yang terletak di bahagian timur Dubai.
Perlawanan menentang negara kepulauan yang berada di ranking ke-125 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu – 23 kedudukan lebih baik daripada pasukan Singa – merupakan ujian yang dinanti-nantikan ketua jurulatih baru Singa yang dilantik pada November 2025, Gavin Lee.
Perlawanan persahabatan tersebut dilihat sebagai peluang penting menghadapi lawan yang lebih mencabar sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2027.
Perlawanan itu juga sepatutnya menjadi aksi antarabangsa pertama Singapura menentang pasukan anggota Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) sejak seri 2-2 dengan Azerbaijan di Dubai pada 2012.
Kapten skuad nasional, Hariss Harun, juga berpendapat bahawa pasukan tidak boleh “mensesiakan mana-mana jendela perlawanan”, menjelang Piala Asia yang akan berlangsung kurang setahun lagi.
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, akui bahawa keselamatan menjadi keutamaan.
Namun beliau menegaskan walaupun jika mereka tidak dapat ke Dubai untuk berlatih, ia tidak akan menjejas persiapan mereka untuk Piala Asia.
“Ini merupakan peluang yang baik untuk kami menguji kemampuan menentang Kepulauan Faroe, memandangkan kedudukan mereka dalam ranking dunia lebih tinggi dan sudah tentu mereka pasukan yang bermutu,” kata pemain tengah berusia 26 tahun itu.
“Namun, sekiranya perlawanan itu tidak dapat diteruskan, kami masih boleh mencari alternatif lain sebagai persiapan menghadapi Piala Asia dan juga kejohanan AFF.”
Namun, kem latihan dan perlawanan persahabatan itu dilihat amat sukar untuk diteruskan sekiranya konflik yang bermula pada 28 Februari, apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran, terus berlarutan.
Pihak berkuasa Amiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan bahawa sebanyak 137 peluru berpandu dan 209 dron dilancarkan ke wilayahnya oleh Iran, dengan kebanyakannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara.
Sisa serpihan dron yang dipintas dilaporkan mencetuskan kebakaran di bahagian bawah hotel mewah Burj Al Arab, manakala letupan turut menggegarkan kawasan pulau buatan Palm Jumeirah.
Lapangan Terbang Dubai, yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa, turut dilaporkan mengalami kerosakan.
Selepas perlawanan dan latihan di Dubai, Singa dijadual pulang untuk menentang Bangladesh dalam perlawanan terakhir kempen kelayakan Piala Asia AFC di Stadium Negara pada 31 Mac.
Singapura sudah pun menjamin kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua keputusan seri daripada lima perlawanan.
Kelayakan disahkan selepas kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong pada 18 November 2025.
Kali terakhir Singapura beraksi dalam Piala Asia adalah sekitar empat dekad dahulu apabila ia menjadi tuan rumah pada 1984.
Perlawanan menentang Bangladesh bakal menjadi detik kepulangan istimewa bagi meraikan kejayaan mara ke pusingan akhir bersama penyokong di Stadium Negara.
FAS turut memaklumkan bahawa peminat boleh menjangkakan “pelbagai tawaran hiburan unik, cabutan bertuah dan inisiatif penglibatan peminat”.
Walaupun telah berjaya melayakkan diri ke Piala Asia, Lee tidak memandang ringan perlawanan tersebut.
“Perlawanan menentang Bangladesh sama pentingnya... kami mahu menamatkan kempen ini dengan momentum positif, baik dari segi prestasi mahupun keputusan,” katanya.

