Topik diikuti
Pergi ke BHkuIrfan Fandi kembali ke SPL, sarung jersi Tampines Rovers
Irfan Fandi kembali ke SPL, sarung jersi Tampines Rovers
Ketika Irfan Fandi kali terakhir beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL), pertahanan tengah itu merupakan pemain berusia 21 tahun yang dinilai tinggi di kelab pembangunan Young Lions dan sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya bersama skuad senior Singa.
Kini, lapan tahun kemudian, selepas melalui tempoh yang berjaya bersama dua kelab Thailand, pemain berusia 29 tahun itu kembali ke SPL selepas menandatangani kontrak jangka pendek untuk beraksi bersama Tampines Rovers sehingga Disember.
Pertahanan setinggi 1.86 meter itu, yang meninggalkan Port FC pada penghujung musim Liga Thai 1 2025-26, akan menambah pilihan di bahagian pertahanan Tampines, khususnya ketika kelab itu perlu mengharungi cabaran beraksi dalam SPL, Kejohanan Kelab Asean (Piala Shopee) dan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL Two) dalam tempoh ini.
Irfan menjelaskan bahawa beliau menandatangani kontrak jangka pendek kerana ia membolehkannya mengekalkan kecergasan perlawanan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia bersama skuad Singa pada awal 2027, sebelum menilai semula peluang untuk beraksi di luar negara selepas kejohanan tersebut.
Walaupun terdapat tawaran daripada kelab-kelab dalam SPL, Irfan berkata beliau mengutamakan peluang untuk beraksi dalam pertandingan serantau dan antarabangsa seperti ACL2 dan Piala Shopee, sambil berterima kasih kepada Tampines kerana bersetuju dengan kontrak jangka pendek itu.
Irfan berpotensi beraksi dalam sehingga 16 perlawanan merentasi tiga pertandingan sebelum kontraknya tamat.
“Dua bulan lalu bukanlah masa yang terbaik bagi saya kerana saya tidak pasti di mana saya akan beraksi,”
“Tetapi saya sangat fokus kepada AFF (Kejohanan Asean), jadi saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan masa depan saya bersama kelab. Selepas mempertimbangkan semua pilihan, saya memutuskan bahawa Tampines merupakan pilihan terbaik untuk saya buat masa ini,”
“Saya hanya bersyukur kerana Tampines memberi saya peluang. Saya akan memberikan apa sahaja yang saya mampu untuk membantu pasukan dalam tempoh singkat yang saya ada ini. Saya masih belum pernah memenangi SPL, jadi itu juga menjadi satu motivasi yang baik,” kata pemain pertahanan itu ketika ditemui The Straits Times (ST).
Irfan, yang telah mengumpul 58 penampilan bersama pasukan kebangsaan, menambah bahawa beliau masih menyimpan hasrat untuk beraksi di luar negara sekali lagi.
Walaupun mengakui bahawa beliau mahu menarik perhatian kelab-kelab yang berpotensi mendapatkannya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kekal bersama Tampines selepas Disember.
“Apabila anda bermain di luar negara, anda berada di luar zon selesa, dan apabila anda bersendirian, saya rasa ketika itulah anda berkembang sebagai pemain dan sebagai seorang individu,” kata Irfan.
Beliau turut katakan beliau tidak sabar untuk beraksi bersama rakan sepasukan kebangsaan seperti Jacob Mahler dan Shah Shahiran.
“Jika saya mendapat peluang untuk bermain di luar negara, saya akan sentiasa mengambil peluang itu. Tetapi buat masa ini, saya mahu mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk Piala Asia.
“Selepas Piala Asia, saya mahu kembali bermain di luar negara... dan sebab itulah keputusan ini dibuat untuk menandatangani kontrak yang lebih pendek.
“Tetapi kita tidak pernah tahu, mungkin saya akan kekal di sini lebih lama,” katanya.
