Bintang muda Singapura, Ilhan Fandi, mengumumkan kepulangannya ke Liga Perdana Singapura (SPL) dengan cara yang terbaik – mempamerkan ketajamannya di depan gol dn menjaringkan dua gol.

Selepas hampir empat tahun beraksi di luar negara, Ilhan kembali ke padang yang cukup dikenali, dan tidak mengambil masa lama untuk mengingatkan semua orang tentang apa yang mampu dilakukannya.

Penampilan sulung bersama Lion City Sailors itu menyaksikan Ilhan beberapa kali berjaya mencari ruang dan menghukum Tampines Rovers setiap kali diberikan peluang untuk beroperasi.

Jika inilah prestasi Ilhan dalam perlawanan pertamanya selepas kembali ke SPL, musim ini boleh menjadi sesuatu yang cukup menarik buat penyerang berusia 23 tahun itu.

Dengan ruang untuk berlari melepasi pertahanan, bergandingan dengan pemain berkualiti serta bermain dengan penuh keyakinan, Ilhan berpeluang besar untuk meninggalkan kesan besar bersama Sailors.

“Sangat menakjubkan. Saya rasa saya tidak boleh meminta penampilan sulung yang lebih baik. Saya benar-benar rasa diberkati kerana menjadi sebahagian daripada pasukan yang hebat ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut berkata bahawa punca prestasi cemerlangnya adalah kerana beliau sedang menikmati bola sepaknya sekarang.

“Saya sentiasa katakan bahawa sama ada saya bermain untuk pasukan kebangsaan atau Sailors, saya sentiasa memberikan yang terbaik. Dan apabila saya menikmatinya, saya cenderung untuk bermain dengan baik,”

“Saya cuma akan terus melakukan apa yang selama ini saya lakukan. Kekal rendah hati, kekal ‘lapar’ dan, insya-Allah, semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Ilhan, kemenangan itu juga menjadi asas penting untuk mengharungi musim panjang yang menanti, dengan Sailors menyasarkan kejayaan dalam pelbagai pertandingan.

“Kami mahu teruskan momentum ini. Ia permulaan yang baik untuk kami dan harap kami dapat meneruskannya selama mungkin,”

“Perkara paling penting ialah untuk memenangi segala yang boleh dimenangi,” ujarnya.