Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Irfan Najeeb ingin kukuh tempat dalam skuad Singa, asah bakat di luar negara

Oct 22, 2025 | 2:25 PM
Bek kanan Singa, Irfan Najeeb, bertekad jadi pemain utama yang tetap dalam skuad Singapura. Beliau kini mempunyai 14 penampilan untuk negara.
Bek kanan Singa, Irfan Najeeb, bertekad jadi pemain utama yang tetap dalam skuad Singapura. Beliau kini mempunyai 14 penampilan untuk negara. - Foto FAS

Walaupun pemain pertahanan BG Tampines Rovers, Irfan Najeeb, menaruh harapan mendapat panggilan dan membuat penampilan pertamanya lebih awal untuk skuad kebangsaan Singa, beliau tidak pernah menyesal.

“Mungkin saya belum bersedia ketika itu. Saya mengalami banyak kecederaan, dan pelajaran penting sepanjang tempoh itu. Saya lebih faham sekarang apa maksudnya menjaga diri, bukan hanya di atas padang, bahkan luar padang,” jelas pemain berusia 26 tahun itu.

Walaupun terasa lama, Irfan melihat kematangan yang diperoleh sepanjang tempoh itu sebagai bekal penting yang membentuk dirinya sekarang – secara peribadi dan sebagai pemain bola sepak.

“Saya banyak belajar tentang kepentingan pemulihan, menjaga diri, dan mentaliti profesional. Kecederaan paha saya contohnya, ia berlaku sebab saya cuai dalam pemulihan,” sambung beliau.

“Tapi sekarang saya tahu, setiap aspek di luar padang pun sama pentingnya dengan apa yang kita buat di atas padang.”

Kini, Irfan menetapkan sasaran beraksi di luar negara, bukan sekadar untuk mencabar dirinya di peringkat lebih tinggi, malah berkembang menjadi pemain lebih lengkap.

Baginya, suasana yang lebih kompetitif akan memaksa dirinya untuk lebih cergas dari segi fizikal, cepat menyesuaikan diri, dan akhirnya menempatkan dirinya sebagai pemain tetap dalam skuad Singa.

“Musim depan, saya ingin mencabar diri di luar Singapura. Mungkin ke liga seperti Liga Thai untuk terus berkembang,” katanya, sambil menekankan betapa pentingnya untuk terus mencabar diri keluar dari zon selesa.

“Pemain luar negara lebih kuat, pantas dan bermain dengan intensiti yang tinggi setiap hari. Saya mahu sampai ke tahap itu.”

Sebagai anak saudara kepada legenda bola sepak negara, Shahril Ishak, minat Irfan terhadap bola sepak bermula sejak kecil lagi.

“Keluarga saya sangat menyokong pasukan kebangsaan. Dari situlah saya mula impikan untuk mewakili Singapura,” ujarnya.

Walaupun jelas berbakat, Irfan tetap merendah hati dan tekankan kepentingan usaha.

Apabila beliau mula-mula bermain untuk Gombak United, beliau sedar bahawa terdapat ramai pemain lebih bagus yang bermain untuk pasukan lebih kuat.

Daripada membiarkan perkara itu mematahkan semangatnya, ia membakar tekadnya dengan lebih kuat.

“Dari situ saya mula faham, kalau saya nak berjaya, saya tak boleh buat perkara biasa. Saya tak boleh jadi pemain yang ‘biasa-biasa’ saja,” kata beliau.

“Saya perlu kerja lebih keras daripada orang lain untuk capai tahap yang saya impikan, untuk menandingi dan melepasi mereka yang berada di hadapan saya.”

Hasil usaha dan pengorbanannya, bakatnya mula menyerlah dan pada 2016, dan beliau dicalonkan untuk Anugerah Dollah Kassim – antara pengiktirafan tertinggi buat pemain bola sepak muda berbakat.

Pada asalnya seorang bek tengah, Irfan kini lebih dikenali sebagai bek kanan dinamik yang boleh menutup ruang lawan dengan agresif dan berdisiplin.

Pertukaran posisi itu berlaku kerana Irfan sedar bahawa beliau perlu membuat perubahan untuk mendapatkan lebih banyak minit beraksi.

“Saya sedar fizikal saya bukan ideal sebagai bek tengah, jadi saya belajar untuk menyesuaikan diri sebagai bek kanan. Sekarang saya lihat ia sebagai kelebihan kerana saya boleh bermain di dua posisi dengan selesa,” jelasnya.

Irfan akhirnya membuat penampilan pertama dalam skuad Singa pada 2023 menentang Hong Kong, bermain selama 90 minit dan mencatatkan persembahan meyakinkan.

Beliau juga mempamerkan persembahan mengagumkan semasa kempen Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Mitsubishi Electric 2024, membantu Singapura mara ke peringkat separuh akhir.

Dalam pertandingan itu, Irfan menjadi antara pemain pertahanan terbaik Singapura, mencatatkan 64 peratus kejayaan merebut bola atau ‘tackle’ dan 75 peratus hantaran tepat dalam tiga perlawanan, termasuk aksi penting menentang Malaysia.

Bek kanan itu juga memainkan peranan dalam kemenangan penting dalam aksi kelayakan Piala Asia, membantu Singa sebagai pemain gantian untuk mempertahanan kelebihan mereka untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas India pada 14 Oktober.

Bagi Irfan, kini matlamatnya untuk pasukan kebangsaan jelas, membantu Singa layak ke Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah.

“Kami hanya satu kemenangan daripada kelayakan, dan semua dalam pasukan sangat fokus untuk cipta sejarah,” katanya.

Bersama Tampines Rovers pula, sasaran utama ialah menjulang kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL), antara trofi yang dikejarnya sejak beliau menyertai mereka pada 2021.

Beliau juga ingin membantu mereka mara sejauh mungkin di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) - apabila mereka berdepan wakil Korea, Pohang Steelers, pada 23 Oktober di peringkat kumpulan.

Setakat 22 Oktober, kededua pasukan menduduki tangga teratas, terikat dengan 6 mata.

“Saya belum mencapai segalanya, tapi saya bersyukur atas semua yang saya lalui. Ia membentuk siapa saya hari ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg