Dua gol jaringan Song Ui-young membantu Singapura bangkit selepas ketinggalan dan menewaskan India 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru di Goa pada 14 Oktober.
Gol itu bermakna kelayakan Singapura untuk ke pertandingan peringkat benua di Arab Saudi masih dalam tangan anak didik Gavin Lee dengan kelayakan berbaki dua perlawanan.
Singapura kini terikat dengan Hong Kong di tangga teratas Kumpulan C dengan lapan mata, selepas Hong Kong mencicir mata semasa diikat seri oleh Bangladesh.
Hanya pasukan teratas dari enam kumpulan kelayakan akan melayakkan diri ke pertandingan benua di Arab Saudi.
Namun, malam bermula dengan kejutan bagi Singapura selepas gawang Izwan Mahbud dibolosi seawal minit ke-14.
India membuka tirai dengan penuh gaya pada minit ke-14, apabila pemain tengah mereka, Lallianzuala Chhangte melepaskan rembatan kencang dari jarak jauh yang menemui sasara.
Jaringan tersebut menyuntik semangat dalam pasukan kendalian Khalid Jamil, dan mereka melancarkan beberapa serangan sepanjang masa pertama memburu untuk menggandakan kelebihan mereka.
Namun, Singapura yang menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-43.
Bek kanan, Irfan Najeeb menghantar bola silang yang dikawal rapi oleh Glenn Kweh, sebelum mengumpan bola kepada Song Ui-young.
Separuh masa pertama berakhir 1-1 dan babak kedua dimulakan dengan India terus menguasai permainan dan rancak menyerang benteng Singapura yang dikawal Hariss Harun dan Safuwan Baharudin.
Singapura hanya mampu mengatur serangan balas yang mudah dipatahkan benteng India, sehinggalah minit ke-58 apabila hantaran jauh dari tengah padang dikawal Ikhsan yang meluru ke petak penalti India.
Ikhsan mengumpan bola kepada Shawal Anuar, yang berjaya meleret bola kepada Song yang tidak dikawal di petak penalti India.
Dengan masa untuk mengawal bola dan memilih sudut untuk dijadikan sasaran rembatannya, Song melepaskan tendangan kencang untuk menjaringkan gol kedua dan kemenangan Singapura.
Singapura akan bertandang ke Stadium Kai Tak Sports Park di Hong Kong bagi perlawanan selanjutnya pada 18 November, sebelum perlawanan kelayakan terakhir menentang Bangladesh di Stadium Negara pada 26 Mac 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg