Pemain pertahanan Singa, Irfan Fandi, enggan mengulas tentang destinasi kelab seterusnya selepas kontraknya bersama kelab Thailand, Port FC, bakal berakhir pada Jun nanti.

Pemain pertahanan berpengalaman berusia 28 tahun itu telah hampir sedekad beraksi di Liga Thai – bermula dengan BG Pathum United dari 2018 hingga 2024 sebelum menyertai Port FC.

Ketika spekulasi mengenai masa depannya terus dibincangkan, pemain kebangsaan Singapura itu menegaskan tumpuan utamanya ketika ini adalah tugasan bersama pasukan negara, terutama menjelang dua perlawanan persahabatan penting sebagai persiapan menghadapi kejohanan besar serantau dan antarabangsa.

“Buat masa sekarang, saya bersama pasukan kebangsaan, jadi itu tumpuan saya,” katanya apabila ditemui Berita Harian (BH) semasa Hari Media di Hotel Parkroyal Beach Road pada 29 Mei.

Skuad Singa dijadual menentang Mongolia pada 31 Mei dan China pada 5 Jun, dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Jalan Besar pada 7.30 malam.

Siri perlawanan itu memberi peluang penting kepada skuad kendalian jurulatih, Gavin Lee, menguji tahap persiapan pasukan menentang lawan yang mempunyai gaya permainan berbeza, di samping meningkatkan tahap kecergasan menjelang kejohanan kompetitif.

Lebih daripada sekadar aksi persahabatan, kedua-dua perlawanan itu juga penting kerana ia berlangsung di lokasi yang sama dengan Piala Asean Hyundai yang akan datang.

Ini memberi peluang berharga kepada pasukan negara untuk menyesuaikan diri dengan padang, suasana dan keadaan persekitaran Stadium Jalan Besar lebih awal.

Kejohanan Piala Asean Hyundai itu merupakan kejohanan penting pertama daripada dua kejohanan persiapan utama Singapura menjelang Piala Asia yang dijadual berlangsung pada Januari 2027.

Satu lagi kejohanan persiapan, Piala Asean Fifa, dilaporkan akan bermula pada September.

Namun bagi Irfan, tumpuannya kini kekal jelas – untuk kembali mencapai tahap kecergasan penuh, mendapatkan minit permainan yang konsisten, dan membantu pasukan kebangsaan dalam persiapan mereka.

“Perlawanan-perlawanan ini menjelang Piala Asia sangat baik sebagai persiapan untuk kami,” katanya.

“Bagi saya, ini peluang untuk mendapatkan minit permainan kerana musim ini saya tidak banyak bermain seperti yang saya mahukan.

“Maka, peluang beraksi di padang, berlatih bersama rakan pasukan dan mencapai (tahap) kecergasan 100 peratus adalah perkara paling penting bagi saya.”

Beliau beraksi selama sekitar 60 minit menentang Bangladesh pada 31 Mac, dengan Singapura menutup kempen kelayakan Piala Asia dengan kemenangan 1-0, sebelum beliau digantikan.

Irfan menegaskan, beliau tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya keletihan pada masa itu.

“Matlamat utama saya sekarang ialah untuk kembali bermain 90 minit… sebenarnya lebih daripada itu, 120 minit,” katanya dengan bersemangat.

“Apabila saya sampai ke tahap itu, saya percaya saya boleh menyumbang dengan lebih baik kepada pasukan.”

Beliau berkata sistem sokongan yang kukuh penting dalam perjalanan mencabar beliau mengatasi kecederaan.

Sistem sokongan itu, jelasnya, datang daripada keluarganya yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjayanya walaupun berjauhan.

Ibu bapanya sentiasa mengikuti perlawanan dan sentiasa berhubungan dalam kumpulan sembang, WhatsApp keluarga mereka, manakala adik-beradiknya, Ilhan dan Ikhsan Fandi yang berada di Bangkok sering menghantar pesanan kepada satu sama lain sebelum perlawanan mereka.

Bagi Irfan, tempoh antarabangsa ini tentang disiplin, pemulihan dan usaha kembali ke tahap terbaik dalam menyarung jersi Singa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak henti-henti menyokong saya sepanjang tempoh kecederaan pada musim lalu,” katanya.

“Saya berjanji akan terus bekerja keras untuk kembali ke tahap kecergasan penuh untuk beraksi selama 90 minit perlawanan, dan sedia memberikan aksi yang terbaik demi Singapura.”