Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 pemain muda penerima sulung biasiswa bola sepak negara

Biasiswa Luar Negara ‘Unleash The Roar!’ buka peluang pemain muda belajar, berlatih di dua akademi bola sepak terkemuka Amerika dan Sepanyol
Jul 31, 2023 | 8:30 PM
TERUJA: Irsalina Irwan adalah salah seorang penerima Biasiswa Luar Negara Unleash the Roar! (UTR!) dan akan menyertai Akademi IMG di Florida, Amerika Syarikat.
TERUJA: Irsalina Irwan adalah salah seorang penerima Biasiswa Luar Negara Unleash the Roar! (UTR!) dan akan menyertai Akademi IMG di Florida, Amerika Syarikat. - Foto UNLEASH THE ROAR!

Pemain midfield AC Milan, Christian Pulisic; bintang muda Manchester United, Alejandro Garnacho; dan Mallory Swanson, pemain pasukan bola sepak nasional Amerika Syarikat pernah mengasah bakat masing-masing di Akademi IMG di Florida, Amerika dan ESC LaLiga & NBA di Madrid, Sepanyol.

Kededua akademi bola sepak itu diiktiraf sebagai antara yang terbaik bagi mempersedia pemain muda untuk memburu kelayakan akademik sementara membuat persiapan menceburi bola sepak sebagai kerjaya.

Tidak lama lagi, lapan pemain bola sepak muda dari Singapura juga akan mengikut jejak pemain-pemain ini dan menjalani latihan di sana.

Kumpulan pemain ini – enam pemain perempuan dan dua pemain lelaki – pada Isnin telah dianugerahkan biasiswa luar negara pertama di bawah projek bola sepak nasional, Unleash the Roar! (UTR!). 

UTR! adalah pelan jangka panjang untuk meningkatkan ekosistem bola sepak dan menyokong aspirasi bersama negara dalam bola sepak.

Ardhra Arul Ganeswaran, Chloe Koh, Irsalina Irwan dan Yasmine Zaharin, semuanya 16 tahun; dan Kyra Taylor, 17 tahun – bakal mengikuti program Akademi IMG.

Tiga pemain – Uchenna Eziakor, 15 tahun; Seri Ayu Natasha Naszri, 16 tahun; dan Loo Kai Sheng, 16 tahun – pula akan menyertai di ESC LaLiga & NBA. 

Mereka dipilih oleh panel khas yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif UTR!, Encik Eric Chua, dan adalah lapan yang terbaik daripada hampir 40 calon atlet lelaki dan perempuan.

Senarai pemain itu dikumpulkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan Sekolah Sukan Singapura (SSS) yang telah dinilai lebih awal, menurut kenyataan UTR!

Pemain-pemain itu juga dinilai oleh jawatankuasa teknikal yang dipimpin oleh Pengarah Teknikal FAS, Michael Browne, dan menyusuli itu, senarai akhir yang lebih kecil telah menjalani sesi temu duga secara perseorangan dengan jawatankuasa eksekutif UTR!

Encik Chua berkata biasiswa itu menandakan mercu tanda penting dalam bola sepak Singapura.

“Ia menyediakan pemain berbakat peluang untuk belajar, berlatih, bermain dan bersaing di luar negara secara sepenuh masa bagi bakat terbaik kita, dan bagi tempoh beberapa tahun. Program pembangunan bola sepak yang ditawarkan di Akademi IMG dan ESC LaLiga & NBA, iaitu institusi yang mempunyai reputasi tinggi, begitu mantap.

“Melalui usaha ini, kami berharap bakat muda kita dapat mengasah kemahiran mereka, memberi inspirasi kepada atlet lain untuk terus memburu aspirasi sukan mereka, dan mengibar tinggi bendera Singapura kita,” tambah Encik Chua, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).

Turut hadir di majlis penyampaian biasiswa di Muzium Tamadun Asia pada malam Isnin ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong.

Irsalina, yang telah lima kali tampil dalam skuad wanita nasional, berkata peluang belajar dan berlatih di luar negara sebagai suatu yang ‘luar biasa’ dan setanding dengan detik beliau menyarung jersi pasukan nasional buat kali pertama.

Pelajar ITE Kolej West itu, yang beraksi dalam Liga Perdana Wanita bersama kelabnya, Albirex Niigata, berkata:

“Meraih pengalaman menjalani dua hingga tiga sesi latihan bola sepak dan kecergasan fizikal setiap hari selama beberapa tahun dan berlatih dengan pemain profesional terkemuka di Amerika pastinya satu pengalaman yang membuat saya berasa amat teruja. Saya tidak sabar untuk memulakannya dan berusaha seberapa boleh. Saya berazam untuk menimba pengetahuan dan menjadi pemain yang lebih baik.”

ESC LaLiga & NBA dan Akademi IMG menawarkan persekitaran latihan yang sesuai – menyepadukan sains sukan, jadual pertandingan bermutu tinggi sepanjang tahun dan pilihan akademik yang fleksibel.

Selain mendapati sokongan latihan holistik di kededua akademi itu, penerima biasiswa juga boleh meraih sokongan berterusan menerusi projek UTR! di Singapura.

Sebagai contoh, pentadbir bola sepak dan bekas pemain nasional seperti Aide Iskandar dan Fazila A. Latiff akan menghulurkan sokongan selaku mentor. 

Aide, bekas kapten pasukan bola sepak nasional lelaki, berkata: “Ketika saya berada dalam lingkungan umur mereka, saya juga pernah ke luar negara. Pemain seperti Rafi Ali dan saya mendapat manfaat daripada pendedahan antarabangsa... kerana kami beraksi dan berlatih dalam sekitaran yang amat berbeza daripada apa yang kami biasa alami di Singapura. Di sana, kami juga bertekad supaya tidak mensia-siakan peluang dan menjalani latihan secara bersungguh-sungguh dan dengan penuh dedikasi.

“Peluang yang dibuka biasiswa ini adalah permulaan baik dan satu langkah ke hadapan dalam usaha pembangunan belia.”

“Ia menyediakan pemain berbakat peluang untuk belajar, berlatih, bermain dan bersaing di luar negara secara sepenuh masa bagi bakat terbaik kita, dan bagi tempoh beberapa tahun. Program pembangunan bola sepak yang ditawarkan di Akademi IMG dan ESC LaLiga & NBA, iaitu institusi yang mempunyai reputasi tinggi, begitu mantap. Melalui usaha ini, kami berharap bakat muda kita dapat mengasah kemahiran mereka, memberi inspirasi kepada atlet lain untuk terus memburu aspirasi sukan mereka, dan mengibar tinggi bendera Singapura kita.”
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif UTR!, Encik Eric Chua, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg