Sekitar lewat 1970 hingga 1990-an, legenda bola sepak setempat, Fandi Ahmad, berjaya mencetus fenomena dan membuatkan peminat Singapura jatuh cinta dengan sukan tersebut.

Dua dekad kemudian, giliran anak-anak lelakinya pula meneruskan legasinya dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Antara kejayaan terbesar tiga anak lelaki pertamanya – Irfan, Ikhsan dan Ilhan – ialah memacu skuad nasional sehingga layak ke Piala Asia 2027 secara merit buat julung kalinya.

Kini, anak bongsu Fandi, Iryan, menyimpan hasrat untuk beraksi bersama abang-abangnya suatu hari nanti.

Walaupun tidak terlepas daripada tekanan menggalas nama besar bapanya, bek tengah berusia 20 tahun itu bertekad tidak mahu emosi tersebut memakan diri.

Sebaliknya, beliau berhasrat mengukir namanya sendiri - satu misi yang beliau percaya bermula dengan perjuangan bermati-matian bersama Young Lions bagi musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2026/27.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) mengenai tekanan membawa nama ayahnya, Iryan berkata:

“Sudah tentu saya rasakan tekanan itu... saya lihat kesemua abang saya beraksi untuk skuad kebangsaan dan kini giliran saya pula meniti tangga kejayaan perlahan-lahan.”

Menurut Iryan, beliau enggan terlalu memikirkan bebanan tersebut agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi di padang.

“Saya tahu nama ‘Fandi’ amat besar di Singapura dan mempunyai sejarah bola sepak yang cukup tinggi.

“Saya akan cuba capai tahap beliau, tetapi pada masa yang sama, saya juga ingin jadi diri sendiri dan ukir nama saya,” ujarnya.

Tiga anak lelaki Fandi Ahmad (dari kiri) Irfan, Ikhsan dan Ilhan telah berkembang menjadi sosok penting dalam skuad bola sepak kebangsaan.
Tiga anak lelaki Fandi Ahmad (dari kiri) Irfan, Ikhsan dan Ilhan telah berkembang menjadi sosok penting dalam skuad bola sepak kebangsaan. - Foto fail

Menurut anak bongsu dalam lima beradik itu, mereka adik-beradik mempunyai hubungan akrab, dengan abang-abangnya sering menasihatinya apa yang perlu diperbaiki selepas setiap perlawanan.

“Kami mempunyai kumpulan sembang (group chat) keluarga yang dianggotai kami adik-beradik sahaja.

“Kadangkala, mereka hantar mesej mengenai apa yang perlu saya perbaiki selepas perlawanan, seperti sudut posisi dan panduan tentang apa yang patut dilakukan.

“Di rumah juga, mereka berkongsi nasihat tentang pemakanan dan suplemen yang baik untuk saya,” kongsinya.

Akur bahawa perjalanannya masih panjang untuk menjadi seperti abang-abangnya, Iryan, yang memiliki raut wajah ‘baby face’ itu, berkata beliau hanya ingin melakukan yang terbaik dan meningkatkan mutu permainannya.

Menjelang perlawanan pertama Young Lions menentang FC Jurong pada 13 September di Stadium Jalan Besar, Iryan ingin meletakkan prestasi pasukannya pada musim lalu di belakang dan berharap mereka sepasukan dapat bersatu menghadapi musim baharu.

Pada musim SPL 2025/26, Young Lions menduduki tangga kedua dari bawah dan mengumpul hanya sembilan mata daripada 21 perlawanan, dan menjaringkan hanya 15 gol serta dibolosi sebanyak 58 kali.

Sebahagian besar pemain juga beraksi di Sukan SEA 2025 di Thailand, yang menyaksikan skuad muda Singa terbantut di peringkat kumpulan.

“Bagi saya, sasaran peribadi ialah untuk sentiasa membantu pasukan memenangi perlawanan dan mengekalkan rekod tanpa dibolosi (clean sheet) dan menjaringkan gol.

“Secara keseluruhannya, saya mahu kami menjadi pasukan yang lebih baik bersama-sama – menang dan tewas bersama,” ujar beliau.

Bek tengah Young Lions, Iryan Fandi, berhasrat meletakkan prestasi pasukannya pada musim lalu di belakang dan berharap mereka sepasukan dapat bersatu menghadapi musim baharu.
Bek tengah Young Lions, Iryan Fandi, berhasrat meletakkan prestasi pasukannya pada musim lalu di belakang dan berharap mereka sepasukan dapat bersatu menghadapi musim baharu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Menurutnya lagi, semangat pasukan kini berada dalam keadaan baik, dengan pemain muda banyak belajar daripada pemain senior seperti Hafiz Nor.

Selain itu, Iryan turut menambah bahawa pemain baharu seperti Kai Whitmore dan pemain import Jepun juga kian menyesuaikan diri dengan pasukan di dalam dan luar padang, termasuk meluangkan masa keluar makan malam bersama selepas latihan.

“Kadangkala selepas latihan, saya dan Kai bersama beberapa pemain lain pergi ke Arab Street untuk makan malam – termasuklah pemain import baharu dari Jepun.

“Kami bawa mereka bersiar-siar di sekitar kawasan itu, makan makanan Arab.

“Sebenarnya, Kai dan pemain Jepun amat menyukainya, lebih-lebih lagi hidangan yang kami pilih tak pedas,” katanya.

Selain mahu memberi impak di padang, Iryan turut teruja menantikan pertembungan sengit menentang abangnya, Ilhan, yang kini menyarung jersi Lion City Sailors.

Kedua-dua pasukan dijadualkan berentap sebanyak tiga kali musim ini, bermula 11 Oktober di Stadium Jalan Besar.

Menurut Iryan, abangnya itu sudah mula mengusiknya dan berseloroh mengenai pertembungan yang bakal mereka hadapi itu.

“Beliau (Ilhan) sudah berseloroh seperti, ‘Perlawanan ini nanti saya akan buat begitu dan begini,’ kemudian beliau ketawa dan kami semua bergurau mesra.

“Ini merupakan kali pertama saya bakal menentang Ilhan di peringkat profesional, jadi ia memang perlawanan yang paling saya nantikan,” kongsinya.

Bek tengah Young Lions, Iryan Fandi.
Bek tengah Young Lions, Iryan Fandi. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL