Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyokong Singa bangga dengan prestasi pasukan walau tewas
Kekalahan Singapura kepada Thailand secara agregat mungkin telah menamatkan harapan pasukan Singa untuk mara ke peringkat final Piala Asean Hyundai, namun bagi tiga penyokong yang berada di Bangkok, perjalanan skuad Singa dalam kejohanan tersebut tetap menjadi sesuatu yang membanggakan.
Tiga bersahabat, Mohamed Harris Danial Mohamed Nazeem, Jordan Tai Liang Kai dan Ungku Irfan Alamshah Tungku Mahmood, kesemuanya berusia 19 tahun, menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok bersama-sama, hanya beberapa hari sebelum mereka pulang ke Singapura selepas menamatkan latihan amali selama lima bulan di Hospital Memorial Chulalongkorn.
Bagi Harris, peluang untuk menyaksikan Singapura beraksi secara langsung di Bangkok pada minggu terakhir mereka di Thailand merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
“Ini minggu terakhir kami di Bangkok dan kami bertuah kerana perlawanan kedua separuh akhir berlangsung hanya beberapa hari sebelum penerbangan pulang.
“Kami sangat teruja dapat menyokong negara sendiri. Majulah Singapura!” katanya dengan penuh semangat kepada Berita Harian (BH).
Walaupun Singapura akhirnya tersingkir secara agregat meskipun menang 2-1, keputusan tersebut tidak sedikit pun mengurangkan rasa bangga Harris terhadap persembahan skuad negara.
“Dari awal lagi, pemain memberikan segala-galanya dan mengawal keseluruhan permainan. Mereka cuma malang kerana akhirnya terpaksa akur (tersingkir),” katanya.
Singa memasuki perlawanan dengan defisit dua gol selepas tewas 1-3 dalam perlawanan pertama di Jalan Besar, namun bangkit dengan persembahan penuh semangat di Bangkok.
Apabila Harhys Stewart menjaringkan gol pembukaan sebelum waktu rehat, keyakinan dalam kalangan penyokong Singapura turut melonjak.
“Itu memang detik kegemaran saya,” kata Harris.
“Apabila Harhys menjaringkan gol sebelum separuh masa, ia membantu membina momentum untuk pemain terus memberi tekanan (kepada pihak lawan) pada separuh masa kedua.
“Ia juga memberikan kami sebagai penyokong tenaga untuk terus ‘mengaum’ di tempat duduk kami,” katanya.
Apabila jaringan gol kedua masuk untuk menjadikan kedudukan 2-1, Harris mengakui beliau mula percaya sesuatu yang luar biasa mungkin berlaku.
“Ya! Itu detik yang membuatkan bulu roma meremang. Saya dapat rasakan momentum mula berubah dan pada minit-minit terakhir, semua orang menahan nafas sambil percaya Singapura mungkin mampu menghasilkan salah satu kebangkitan terbesar dalam sejarah bola sepak Singapura.”
Singapura akhirnya gagal mendapatkan gol ketiga yang diperlukan untuk menyamakan kedudukan agregat dan memaksa masa tambahan.
Namun, bagi Harris, seandainya gol ketiga itu hadir, kisah mungkin berbeza.
Lebih penting buat Harris, persembahan di Bangkok membuktikan Singapura kini mampu bersaing dengan pasukan terbaik rantau ini.
“Saya rasa ini satu langkah yang baik bagi bola sepak Singapura. Mencapai separuh akhir dan menewaskan Thailand di Bangkok menunjukkan betapa besar perjuangan dan semangat yang ada dalam pasukan ini,” katanya.
