EMPOLI (Italy): Italy menewaskan Bosnia 1-0 pada 9 Jun, dengan pemain tengah Davide Frattesi menjaringkan gol menakjubkan pada separuh masa pertama dalam satu perlawanan persahabatan.
Perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Carlo Castellani, Empoli, diadakan sebagai persiapan menjelang kejohanan Eropah (Euro 2024) yang akan bermula di Jerman minggu depan.
Frattesi meletakkan Italy, pasukan juara bertahan di hadapan, dengan jaringan gol cantik pada minit ke-38 ke dalam gawang hasil hantaran Federico Chiesa.
Pengurus Italy, Luciano Spalletti, melakukan sembilan pertukaran daripada pasukan yang seri 0-0 menentang Turkey pada 4 Jun lalu, mengekalkan penyerang Chiesa dan pemain tengah Jorginho dalam kesebelasan utama.
Perlawanan tersebut menyaksikan Italy sering tumpul di depan gawang dengan penyerang Gianluca Scamacca mensia-siakan beberapa peluang.
Malah, ia juga hampir ketinggalan pada minit awal, namun digagalkan oleh kecekapan Gianluigi Donnarumma yang melakukan aksi baik untuk menafikan rembatan rendah pemain tengah Bosnia, Haris Hajradinovic.
Penjaga gawang Italy itu juga menyelamatkan pasukan pada minit ke-18 apabila Bosnia, yang berada di ranking ke-74 dan gagal layak ke Eropah 2024, melakukan percubaan menerusi Jusuf Gazibegovic.
“Kami telah melakukan apa perlu dilakukan ketika berdepan dengan Bosnia.
“Kami yakin mempunyai pasukan yang bagus... kami mempunyai dua pasukan yang hampir berbeza dalam perlawanan ini, biarpun begitu kami mempunyai peluang memberitahu pemain sesuatu perlu diperbaiki segera kerana kami tidak mempunyai banyak masa,” ujar Spalletti.
Italy memulakan kempen kejohanan Eropah 2024 pada 15 Jun dengan menentang Albania sebelum bertemu Sepanyol pada 20 Jun, dikuti Croatia empat hari kemudian.
Italy berada dalam Kumpulan B kejohanan tersebut bersama juara tiga kali Sepanyol, Croatia dan Albania. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg