Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelukis beri nafas baru pada bekas tapak kolam renang Yan Kit di Tanjong Pagar

Feb 3, 2025 | 5:06 PM
Cik Nur Aida Sa’ad telah menghasilkan lukisan mural di bekas tapak Kolam Renang Yan Kit, di Tanjong Pagar.
Cik Nur Aida Sa’ad telah menghasilkan lukisan mural di bekas tapak Kolam Renang Yan Kit, di Tanjong Pagar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pertama kali Cik Nur Aida Sa’ad berdiri di hadapan tapak bekas Kolam Renang Yan Kit, di Tanjong Pagar, beliau membayangkannya sebagai kanvas kosong yang menantikan karya lukisan menarik untuk menghiasinya.

Pelukis berusia 33 tahun itu berasa bertanggungjawab untuk menghasilkan mural yang dapat memperingati warisan kolam renang awam kedua Singapura itu – yang telah beroperasi dari 1952 hingga 2001.

“Terdapat begitu banyak nostalgia yang terikat dengan tempat ini,” kongsi Cik Aida.

“Saya mahu mural ini mencerminkan bukan sahaja sejarah kolam ini, malah juga tenaga dan semangat yang dirasakan masyarakat pada masa itu.”

Hasil mural Cik Aida bertajuk, ‘Deep Pool Diving’, menyaksikan beliau menggunakan motif marin serta warna-warna terang.

Ia menghidupkan semula seni lukisan haiwan laut, mengambil ilham daripada mural asal yang pernah menghiasi tembok bilik persalinan kanak-kanak di kolam renang tersebut.

Ditugaskan oleh Majlis Sukan Singapura (SportSG) sebagai sebahagian daripada Minggu Seni Singapura (SAW) 2025, karya seni mural itu mengambil sekitar dua bulan untuk dirancang dan dijayakannya.

“Saya berasa bangga kerana sebuah organisasi sukan memberi perhatian kepada seni.

“Saya rasa ini satu perkara baik yang menandakan bahawa Singapura semakin terbuka kepada seni, dan ia memberi kesempatan untuk kisah-kisah menarik seperti kenangan kolam renang ini untuk dikongsi,” kata Cik Aida.

Mural  di 5 Yan Kit Road sepanjang 15 meter dan setinggi 2.7 meter itu merangkumi pelbagai kehidupan marin laut yang boleh ditemui dalam perairan Singapura.
Mural di 5 Yan Kit Road sepanjang 15 meter dan setinggi 2.7 meter itu merangkumi pelbagai kehidupan marin laut yang boleh ditemui dalam perairan Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mural sepanjang 15 meter dan setinggi 2.7 meter itu merangkumi lukisan kuda laut, penyu, ubur-ubur, sotong kurita, landak laut, ikan yu dan banyak lagi.

Cik Aida berkongsi bahawa lukisannya mencerminkan spesis kehidupan marin yang boleh didapati di perairan Singapura.

Antaranya adalah spesis ‘Neptune’s Cup Sponge’, sejenis span laut berbentuk cawan yang boleh tumbuh setinggi dan sebesar satu meter.

Ini adalah antara kehidupan marin khas bagi Singapura kerana ia pertama kali direkodkan secara saintifik di Singapura pada 1820.

“Saya tidak pernah melukis di dinding melengkung sebelum ini. Ia agak mencabar, tapi saya rasa ia sesuatu yang istimewa kerana ia terletak di sepanjang laluan, dan orang ramai yang lalu-lalang di sana boleh melihat dan menikmati hasil karya ini,” ujar Cik Aida.

Mural itu turut melibatkan 23 kerjasama relawan masyarakat seperti sukarelawan daripada Kelab Renang Awam dulu, Team Nila dan kakitangan SportSG bersama-sama Cik Aida yang menyumbang tenaga untuk menjayakan mural ini.

Setiap relawan membawa perspektif unik berdasarkan kenangan mereka tentang kolam renang tersebut, yang pernah menjadi pusat penting bagi perenang tempatan, pemain polo air dan keluarga.

Mural asal sebelum Kolam Renang Yan Kit ditutup pada 2001 di bilik persalinan kanak-kanak.
Mural asal sebelum Kolam Renang Yan Kit ditutup pada 2001 di bilik persalinan kanak-kanak. - Foto LEMBAGA PERPUSTAKAAN NEGARA

“Pengalaman bekerja bersama relawan masyarakat dan individu secara langsung yang mempunyai kenangan dengan Kolam Renang Yan Kit sangat mengharukan.

“Mendengar kisah dan pengalaman mereka menambahkan makna yang lebih mendalam kepada projek ini,” kata Cik Aida, yang biasanya mengerjakan karya lukisan digital.

Mural terakhirnya sebelum ini adalah pada 2023, di Gillman Barracks, Southern Depot.

Mural yang berwarna-warni itu kini menjadi tumpuan utama Galeri Warisan Kolam Renang Yan Kit, yang dilancarkan secara rasmi pada 18 Januari 2025.

Galeri ini menghormati sejarah kaya kolam renang ini sebagai tempat latihan untuk atlet kebangsaan serta tempat pertemuan yang disayangi oleh masyarakat setempat.

Pelancaran galeri warisan ini dirasmikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, yang juga Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar, dan Pengerusi SportSG, Encik Kon Yin Tong.

Acara tersebut turut dihadiri oleh ahli sukan Olimpik seperti Tay Chin Joo dan Oon Jin Teik, serta bekas ahli Kelab Renang Awam, serta pemain polo air kebangsaan.

Kehadiran mereka menekankan legasi mendalam Kolam Renang Yan Kit dalam membentuk identiti sukan Singapura.

Galeri itu merupakan pameran warisan kedua oleh SportSG, selepas Galeri Warisan Kolam Renang Katong yang dibuka pada 2022.

Mengongsi harapannya kepada orang ramai mengenai mural itu, Cik Aida berkata:

“Saya hanya ingin orang yang lalu dan melihat mural itu senyum dan menikmati hasil lukisan saya.

“Saya harap mural itu dapat menceriakan dan mereka juga dapat meraikan kewujudan mural tersebut selain memahami makna di sebalik tempat ikonik kolam renang tersebut.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg