Penjaga gol, Izwan Mahbud, menyertai semula skuad Singapura, lebih dua tahun selepas panggilan nasional terakhirnya pada Mac 2022.
Pemain Lion City Sailors berusia 34 tahun itu antara 11 muka baru dalam pasukan ketua jurulatih national Tsutomu Ogura, untuk ditampilkan dalam perlawanan bagi jendela antarabangsa Fifa pada September, umum Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 28 Ogos.
Para pemain itu sama ada meraih panggilan sulung mereka dalam skuad senior atau belum dipanggil dalam dua pemilihan pemain Ogura sebelum ini pada Mac dan Jun.
Penampilan terakhir Izwan bagi Singapura adalah pada Jun 2021 semasa menentang Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia. Beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lututnya pada November 2022 dan tidak beraksi sebahagian besar 2023.
Izwan, yang sudah 54 kali menyarung jersi Singapura, dijangka menjadi pilihan utama bagi menjaga gawang Singaa selepas persaraan penjaga gol veteran Hassan Sunny daripada bola sepak antarabangsa pada 18 Ogos.
Tiga lagi penjaga gol – Syazwan Buhari (dua penampilan), Hairul Syirhan dan Rudy Khairullah (tiada penampilan) – juga mendapat tempat dalam skuad Ogura.
Selain Izwan, Rudy, Faizal Roslan, Ho Wai Loon, Shakir Hamzah, Darren Teh, Syed Firdaus Hassan, Naqiuddin Eunos dan Iqbal Hussain menyertai semula pasukan nasional.
Dua pemain muda, Ajay Robson, 20 tahun, dan Zikos Chua, 20 tahun, turut berpeluang diturunkan untuk skuad senior buat julung kalinya.
Singapura akan bermain dua perlawanan latihan, menentang kelab Liga Perdana Singapura, BG Tampines Rovers, pada 6 September, dan Johor Darul Ta’zim dari Malaysia, sehari kemudian. Ia sebahagian daripada persiapan bagi Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dari 8 Disember hingga 5 Januari.
Para pemain itu akan dilepaskan kepada kelab mereka pada 8 September, walaupun jendela antarabangsa Fifa berlangsung 2 hingga 10 September. Ini “dalam usaha bekerjasama dengan kelab untuk menguruskan jadual perlawanan mereka sendiri”, kata FAS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg