Pasukan bola sepak wanita negara berdepan tugas ‘hidup atau mati’ dalam Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita, selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di saingan separuh akhir pada 2 Disember.
Mereka harus menewaskan Timor-Leste dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 5 Disember untuk menempah tempat ke Kejohanan AFF Wanita 2025.
Tempat tersebut hanya diberikan kepada salah satu daripada tiga pasukan terbaik dalam kejohanan kelayakan di Laos.
Kemenangan ke atas Indonesia, yang berada di ranking ke-104 dunia, mampu memastikan tempat bagi Singapura, yang kini di ranking ke-138 dunia.
Namun, Indonesia berjaya menempah tiket ke pertandingan tujuh pasukan tersebut, bersama Kemboja yang menewaskan Timor-Leste 3-0 dalam satu lagi separuh akhir, lapor The Straits Times (ST).
Kapten singa wanita, Siti Rosnani Azman, berkata:
“Perlawanan ini sangat mencabar, mereka adalah pasukan yang bermutu. Namun, disebabkan kami berjuang hingga ke wisel penamat dan memberi yang terbaik, saya berbangga dengan mereka.
“Ini bukan penghujung bagi kami. Kami mungkin tewas di separuh akhir, tetapi masih ada satu lagi perlawanan yang perlu dihadapi, dan kami sedang bersiap untuk itu.”
Di Vientiane, Indonesia hanya memerlukan enam minit untuk mendahului menerusi pemain berusia 15 tahun, Claudia Scheunemann, yang beraksi untuk pasukan Bawah 17 Tahun Kelab Jerman, Hamburger SV.
Hantaran daripada kapten Indonesia, Viny Silfianus Sunaryo, menemui Claudia di luar kotak penalti, dan penyerang itu melakukan sentuhan sebelum melencongkan bola melepasi penjaga gawang Singapura, Hazel Lim, untuk gol keduanya dalam kejohanan itu.
Indonesia terus memberi tekanan hebat, memaksa kesilapan pertahanan Singapura yang kelihatan goyah di bahagian belakang.
Indonesia menggandakan kelebihan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Reva Octaviani melakukan rembatan jarak jauh menewaskan Lim.
Keadaan bertambah buruk apabila Lim, mengalami kecederaan selepas terlanggar tiang gol ketika cuba menyelamatkan bola. Beliau digantikan Nurul Illyanis Khairul.
Beberapa perubahan pada babak kedua menyaksikan prestasi lebih baik daripada Singapura, namun masih tidak mencukupi untuk mengubah keputusan perlawanan.
Penyerang Indonesia, Octavianti Dwi Nurmalita, menambah gol ketiga untuk Indonesia dengan sepakan kaki kiri pada minit ke-94, memastikan kemenangan sekali gus melayakkan diri ke final menentang Kemboja pada 5 Disember.
Jurulatih Singapura, Karim Bencherifa, bangga dengan kebangkitan pasukannya di separuh masa kedua.
“Kami tahu kami bermain pasukan yang bermutu. Saya rasa mereka antara pasukan terbaik kejohanan ini dengan ramai pemain berkualiti.
“Saya gembira dengan reaksi (pemain) pada separuh masa kedua. Gol (yang dibolosi) itu ekoran beberapa kesilapan, tetapi seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, Indonesia agak klinikal,” katanya.
Warga Maghribi itu juga menekankan bahawa Indonesia mempunyai kelebihan tiga hari membuat persiapan bagi perlawanan itu, dengan perlawanan terakhir berlangsung pada 26 November manakala perlawanan terakhir Singapura ialah menentang Laos pada 29 November.
Namun, beliau menegaskan untuk melupakan perlawanan separuh akhir dan memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya menentang Timor-Leste, yang berada di ranking nombor 159 dunia.
Kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan pada 26 November, dengan Timor-Leste menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk keputusan seri 1-1.
Bencherifa mengakui bukan satu tugas mudah terutama dengan beberapa kecederaan dalam pasukan.
Mereka melangkah ke saingan separuh akhir tanpa penyerang Nur Farhanah Ruhaizat, yang mengalami kecederaan ketika menentang Laos, manakala penyerang, Farah Nurzahirah dan Lim digantikan selepas cedera menentang Indonesia.
Bencherifa mengakui bahawa Timor-Leste adalah pasukan kejutan bagi kejohanan itu, namun beliau yakin Singa wanita mampu mengatasi mereka.
“Kami juga mempunyai pemain yang bagus, tetapi buat masa ini kami perlu kembali dan pulih serta mendapatkan skuad terbaik untuk perlawanan seterusnya.
“Ia akan menjadi perlawanan yang menarik dan saya sangat optimis kami akan melakukannya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg