Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sinner juara Wimbledon, tebus kekalahan di Terbuka Perancis

Bintang tenis muda anggap lawan, Carlos Alcaraz, pemain sukar ditandingi
Jul 14, 2025 | 6:39 PM
Bintang tenis, Jannik Sinner (kiri), menjulang Piala Wimbledon pertamanya selepas menewaskan Alcaraz (kanan) dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di All England Club, pada 13 Julai.
Bintang tenis, Jannik Sinner (kiri), menjulang Piala Wimbledon pertamanya selepas menewaskan Alcaraz (kanan) dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di All England Club, pada 13 Julai. - EPA

LONDON: Bintang tenis muda Italy, Jannik Sinner, menjuarai piala Wimbledon 2025, selepas mengalahkan Carlos Alcaraz 4-6, 6-4, 6-4, 6-4, dalam perlawanan akhir yang mendebarkan pada 13 Julai.

Kemenangan di Kelab All England tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian Grand Slam keempat buat Sinner, 23 tahun, malah beliau berjaya menebus kekalahan yang memeritkan ketika bertemu Alcaraz, 22 tahun, dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis yang berlangsung pada Jun di Roland Garros, Paris.

Lebih manis, kemenangan itu menjadikan Sinner pemain pertama Italy yang menjuarai gelaran perseorangan Wimbledon.

Sinner kekal tenang walaupun tewas dalam set pertama, sebelum beliau memperbaiki momentum dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan dalam masa sekitar tiga jam.

Lima minggu lalu, beliau gagal memanfaatkan tiga peluang kemenangan dalam final di Roland Garros.  

Namun kali ini, beliau tidak lagi melakukan kesilapan, dan berjaya menyempurnakan servis yang memberi kemenangan.

Sinner menyifatkan kemenangan beliau sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Kemenangan beliau turut disambut dengan sorakan gemuruh daripada para penonton di Gelanggang Tengah.

“Ini satu pertandingan luar biasa. Namun, saya ingin mulakan dengan ucapan kepada Carlos.

“Anda pemain yang hebat dan sukar ditandingi. Tetapi kita mempunyai hubungan baik di dalam dan luar gelanggang.

“Teruskan usaha dan semangat anda,” kata Sinner.

Dalam perlawanan akhir pertama Wimbledon yang menemukan dua pemain itu, Sinner lebih dahulu mematahkan servis Alcaraz pada kedudukan 3-2, namun lawannya pantas bangkit dan menamatkan set pembukaan dengan pukulan balas luar biasa.

Sinner kembali bangkit dalam set kedua dengan merampas servis Alcaraz seawal permainan pertama.

Ketika kedudukan 3-1, permainan terhenti seketika apabila penutup botol minuman melayang ke gelanggang.

Namun, insiden itu tidak mengganggu tumpuan pemain ‘Nombor Satu’ dunia itu yang kemudian menyempurnakan set tersebut.

Momentum Sinner berterusan dalam set ketiga, apabila beliau berjaya mematahkan servis Alcaraz sekali lagi untuk mendahului 5-4, sebelum menamatkan set menerusi servis bertenaga.

Sinner terus mendahului 3-1 dalam set keempat.

Alcaraz dilihat mula hilang rentak, manakala Sinner kekal tenang dan konsisten sehingga melengkapkan kemenangan bersejarah itu.

“Saya kini hidup dalam impian (kemenangan) ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pasukan saya dan semua yang hadir pada hari ini.

“Anda memberi semangat luar biasa kepada saya. Kita terus berusaha menjadi pemain lebih baik, tetapi lebih penting, menjadi insan lebih baik,” kata Sinner.

Sementara itu, Alcaraz, yang sebelum ini bangkit semula setelah hampir kalah dalam final di Roland Garros, gagal mengulangi persembahan cemerlangnya dan terpaksa akur dengan kegagalan meraih kejuaraan Wimbledon ketiga berturut-turut.

“Saya tetap bangga dengan perjalanan saya musim ini.

“Pada awalnya saya bergelut sedikit, tetapi saya kembali menikmati permainan dan beraksi dengan penuh semangat.

“Ia satu perjalanan yang hebat dan saya sangat bersyukur,” kata Alcaraz. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg