PARIS: Juara Terbuka Perancis tiga kali, Novak Djokovic, masih agak dipandang rendah pada usia 38 tahun, walaupun beliau menunjukkan prestasi bertaraf dunia.
Demikian dinyatakan oleh pemain Jerman, Alexander Zverev, selepas tewas dalam perlawanan suku akhir kepada pemain Serbia itu pada 4 Jun.
Zverev, 28 tahun, yang merupakan finalis pada 2024, cuba menjadi pemain lelaki keempat dalam era Terbuka yang berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Perancis selama lima tahun berturut-turut – selepas Djokovic, Rafael Nadal dan Roger Federer.
Namun, hasrat beliau tidak kesampaian apabila beliau tersingkir daripada kejohanan itu, selepas tewas dalam empat set kepada Djokovic.
Djokovic kini bakal berentap dengan pemain nombor satu dunia dari Italy, Jannik Sinner, untuk merebut tempat ke perlawanan akhir pada 8 Jun.
“Saya rasa tahap permainannya sangat baik,” kata Zverev dalam satu sidang media.
“Pada satu ketika, ia menjadi sangat sukar bagi saya.
“Ada masanya, saya berasa seperti saya tidak tahu bagaimana untuk memenangi satu mata ketika bermain dari garisan belakang.
“Saya rasa beliau sentiasa ada cara untuk mengatasi hampir semua yang saya lakukan.”
Djokovic bermain secara luar biasa dengan melakukan 35 pukulan ‘drop shot’ (yang membuat bola jatuh betul-betul dekat jaring) dalam perlawanan tersebut.
Ia memaksa Zverev untuk sering berlari ke jaring, selain mengubah-ubah rentak permainan bagi menghalang pemain Jerman itu daripada menguasai permainan dari garisan belakang.
“Sejujurnya, saya rasa pada masa ini, beliau masih dipandang rendah,” kata Zverev mengenai Djokovic.
“Saya rasa ramai meragui kemampuannya, tetapi tahun ini (2025) beliau sudah pun menewaskan Carlos Alcaraz di Terbuka Australia, dan kini menewaskan saya di Terbuka Perancis.
“Lupakan soal usia. Saya rasa untuk mana-mana pemain, itu adalah keputusan amat baik. Beliau masih mengalahkan pemain terbaik (dunia), jadi saya rasa kita semua wajar menghargainya.”
Djokovic, bekas pemain nombor satu dunia, kini hanya tinggal dua perlawanan lagi untuk menjadi pemain pertama, baik lelaki mahupun wanita, yang memenangi 25 piala perseorangan Grand Slam. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg