Pasukan Singa menduduki tempat teratas Kumpulan C dengan kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh di Stadium Kebangsaan Bangabandhu, Dhaka, pada 10 Jun.
Jaringan pemain tengah, Song Ui-Young dan penyerang, Ikhsan Fandi, cukup untuk membimbing Singa memperoleh kemenangan 2-1 dan tiga mata, dalam kumpulan kelayakan Piala Asia yang sengit itu.
Dalam Kumpulan C, Singapura berkongsi empat mata dengan Hong Kong.
Dalam perlawanan berasingan, Hong Kong mengatasi India 1-0 di padang Hong Kong, Kai Tak Sports Park, pada 10 Jun.
Rasa gementar dalam separuh masa pertama jelas dilihat sehinggakan kededua pasukan sukar untuk mengawal permainan pada awal perlawanan.
Bangladesh yang berusaha memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan C, tidak duduk diam dan menggugat gawang Singa pada minit ke-14 apabila bek kanan pasukan tuan rumah, Shakil Topi, melepasi pemain pertahanan Singa, Jordan Emaviwe.
Shakil kemudian membuat hantaran bola kepada rakan sepasukannya, Rakib Hossain. Malangnya percubaan Rakib ke arah gawang Singa agak tidak bermaya dan mudah diselamatkan oleh penjaga gawang, Izwan Mahbud.
Singa membalas serangan Bangladesh hanya seminit kemudian, apabila Harhys Stewart menghasilkan hantaran silang hebat sekali lagi yang menemui Ikhsan Fandi, tapi percubaan Ikhsan tidak mengena sasaran.
Pemain tengah Bangladesh, Shamit Shome,yang bermain dalam Liga Perdana Canada bagi pasukan Cavalry FC, mempamerkan kualitinya – melepasi tiga pemain pertahanan Singa dengan mudah, tetapi hantarannya berjaya dihalang oleh tonggak barisan pertahanan Singa, Safuwan Baharudin.
Meskipun pasukan tuan rumah cuba memburu gol, jaringan pertama dibuat semasa kawasan penalti Bangladesh diasak pasukan Singa hasil lontaran jauh oleh pemain sayap, Harhys Stewart.
Lontaran itu kemudian ditanduk pemain pertahanan rakan sepasukannya, Jordan yang kemudian jatuh semula ke kaki Harhys.
Harhys tidak berlengah terus membuat hantaran mudah ke arah pemain tengah rakan sepasukannya, Song Ui-Young yang kemudian merembat bola masuk ke gawang Bangladesh.
Separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak Singapura.
Separuh kedua bermula dengan Bangladesh memburu gol penyamaan perlawanan, didorong oleh 21,317 penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut di stadium.
Penyerang Bangladesh, Rakib bergabung baik dengan bek kirinya, Saad Uddin, untuk melepasi barisan pertahan Singa, tetapi hantarannya tidak temui sesiapa di dalam kotak penalti Singa.
Namun, anak didik Ogura yang berjaya menggandakan kelebihan Singa pada minit ke-57.
Pemain tengah bertenaga Singa, Hami Syahin mencuba nasibnya dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti Bangladesh.
Penjaga gawang Bangladesh, Mitul Marma, hanya berjaya menepis percubaan tersebut ke arah Ikhsan, yang memanfaatkan peluang tersebut dan menjaringkan gol kedua perlawanan dan gol ke-21 beliau bagi Singapura.
Namun, pada minit ke-66, Rakib membuka ruang kebangkitan Bangladesh apabila menerima hantaran dari pemain tengah, Hamza Choudhury, yang juga bermain dengan pasukan Liga Perdana England (EPL), Leceister City.
Percubaan Rakib, yang walaupun kelihatan lemah, tidak berjaya diselamatkan Izwan, yang kemudian berjaya merapatkan jurang gol kepada 2-1.
Bangladesh terus mengasak benteng pertahanan Singa, memburu gol penyamaan.
Mereka hampir mencapai matlamat itu melalui hantaran sudut tetapi tandukan penyerang Bangladesh, Al-Amin dapat dihalang oleh barisan pertahanan Singa.
Namun, anak didik Ogura berjaya bertahan sebelum wisel penamat ditiupkan. Pasukan Singa menang 2-1.
Perlawanan kempen kelayakan Piala Asia seterusnya bagi Singa akan berlangsung semasa jadual antarabangsa pada Oktober.
Pasukan Singa akan berdepan India di padang sendiri pada 9 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg