Ketua jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, telah mencabar anak didiknya agar tidak berhenti berlari, terus mengasak benteng lawan, dan mengawal rentak perlawanan seberapa lama yang mereka mampu apabila menentang tuan rumah Bangladesh dalam pertembungan kelayakan Piala Asia mereka pada 10 Jun.
“Perkara penting bagi saya adalah untuk pastikan kami kekalkan gaya permainan kami seberapa lama yang kami mampu. Itu tumpuan saya bagi perlawanan esok,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Namun, itu bukan matlamat yang mudah bagi pasukan Singa, yang akan bermain dalam keadaan bahang di Stadium Kebangsaan Bangabandhu.
Mereka juga akan berdepan ‘senjata’ Bangladesh, iaitu pemain tengah pasukan Liga Perdana England (EPL) Leicester City, Hamza Choudhury.
Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah persembahan tidak konsisten Singa kebelakangan ini, yang menyaksikan mereka tidak dapat mengekalkan rentak sepanjang 90 minit perlawanan.
Perkara itu dapat dilihat semasa perlawanan persahabatan Singa menentang Maldives di Stadium Bishan pada 5 Jun.
Walaupun anak didik Ogura berjaya menundukkan Maldives 3-1, kemerosotan prestasi Singa ketara pada separuh masa kedua.
Kemerosotan yang serupa dapat dilihat semasa perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 menentang Thailand.
Singa mendahului 2-1 pada separuh masa pertama, namun gagal mengekalkan rentak dan akhirnya ditewaskan 4-2.
Ogura cuba memastikan bahawa pasukannya tidak mengulangi kesilapan serupa itu.
Perkara itu menjadi lebih penting kerana pasukan kendalian ketua jurulatih Bangladesh, Javier Cabrera, juga hadir perlawanan itu dengan penuh keyakinan, dan mampu memanfaatkan kelemahan pasukan Singa.
Mereka berjaya memenangi perlawanan persiapan mereka 2-0 menentang Bhutan, di Stadium Kebangsaan Bangabandhu pada 5 Jun.
Dalam perlawanan tersebut, Choudhury, yang beraksi di midfield, mempamerkan kekuatannya di udara dengan menjaringkan gol pertama perlawanan tersebut.
Choudhury membuat 89 penampilan EPL untuk Leicester pada 2017, dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala FA sulung Leicester pada 2021.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu merupakan pemain EPL pertama untuk mewakili Bangladesh, yang berada di kedudukan ke-185 dalam ranking dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Namun, bagi pemain pertahanan Singa, Amirul Adli, kehadiran Choudhury tidak akan menjejas persiapan Singa, yang menduduki tangga Fifa lebih tinggi, di kedudukan ke-161.
“Dari apa yang saya lihat berdasarkan beberapa perlawanan terakhir Bangladesh, mereka berjaya memperoleh keputusan yang baik,” kata Amirul, yang menjaringkan gol antarabangsa pertamanya menentang Maldives pada 5 Jun.
“Justeru, perlawanan ini bukan hanya tentang Hamza, ia adalah tentang pasukan Bangladesh, pasukan yang bagus.”
Menurut Ogura, pasukannya juga mempunyai pemain yang membawa pengalaman bermain di luar negara, seperti Ilhan dan Ikhsan Fandi, yang bermain di Thailand, untuk memperkukuhkan pasukannya.
Selain itu, bagi Ogura, ranking Fifa tidak bermakna dalam pertandingan tersebut.
“Terutamanya dalam kumpulan kami, ia sangat kompetitif. Dahulu, jurang kualiti pasukan agak besar, kini ia sangat dekat. Bagi semua negara, mereka mempunyai peluang yang hampir sama untuk mendapatkan kemenangan,” kata beliau.
Justeru, adalah penting bagi pasukan kendalian Ogura memperoleh kemenangan menentang Bangladesh, dalam Kumpulan C yang menyaksikan semua pasukan mempunyai satu mata sahaja.
Ogura serta pemainnya sebulat suara menyatakan bahawa keputusan seri yang mereka peroleh apabila menentang Hong Kong pada 25 Mac seperti mereka keciciran dua mata.
Setiap mata yang diperoleh penting bagi pasukan Singa kerana hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan kelayakan seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg