Topik diikuti
Pergi ke BHkuCasas berpisah dengan Lion City Sailors selepas 7 bulan
Juara Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatihnya dari Sepanyol, Jesus Casas, kurang tujuh bulan selepas beliau dilantik untuk membimbing pasukan itu.
Kelab itu dalam satu kenyataan di Instagram pada 1 September memaklumkan bahawa mereka telah “berpisah” dengan Casas, sekali gus menamatkan tempoh singkat jurulatih berusia 51 tahun itu bersama Sailors.
Casas dilantik pada 23 Februari 2026, mengambil alih pasukan di pertengahan musim 2025–26 selepas pemergian Aleksandar Rankovic.
Walaupun hadir ketika musim sudah berjalan, beliau berjaya membawa Sailors untuk mempertahankan mahkota SPL mereka.
Namun, pemergian Casas berlaku hanya beberapa hari sebelum aksi Perisai Masyarakat menentang Tampines Rovers pada 6 September, selain kurang dua minggu sebelum musim baharu SPL bermula pada 11 September.
Buat sementara waktu, penolong jurulatih Varo Moreno akan mengambil alih tanggungjawab mengendalikan pasukan utama Sailors sehingga satu pengumuman lanjut dibuat.
Sudah lebih dua tahun bersama kelab tersebut, Moreno pernah menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih sementara selepas pemergian Rankovic pada Februari.
Sebelum menyertai Sailors pada 2024, beliau berkhidmat sebagai penganalisis untuk pasukan kebangsaan Haiti dan memegang peranan sebagai jurulatih dan penganalisis di pasukan Málaga CF serta Al Ain, UAE.
Sementara itu, pemergian Casas turut mencetuskan persoalan mengenai langkah seterusnya dalam kerjayanya, terutama selepas namanya sebelum ini dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan lelaki Korea Selatan.
Pada 17 Ogos lalu, media tempatan Korea Selatan melaporkan bahawa Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) telah mengecilkan senarai calon bagi jawatan jurulatih sementara kepada tiga nama – Gus Poyet, Jesus Casas dan Domenec Torrent.
Ketiga-tiga jurulatih itu dilaporkan memohon jawatan tersebut menerusi proses pengambilan terbuka yang ditutup pada 9 Ogos.
Casas bukanlah nama asing dalam bola sepak Asia.
Beliau pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Iraq sejak 2022, selepas sebelum itu berkhidmat sebagai penolong jurulatih kepada Luis Enrique bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
Di bawah kendalian Casas, Iraq mencipta kejutan besar pada Piala Asia 2023 apabila menewaskan Jepun dalam peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan Casas kemungkinan tidak akan mengambil alih pasukan kebangsaan Korea Selatan, sekurang-kurangnya buat masa ini.
KFA baru-baru ini mengumumkan pelantikan Roberto Moreno sebagai ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan lelaki Korea Selatan.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagram rasmi KFA hanya beberapa jam sebelum Sailors mengesahkan perpisahan mereka dengan Casas.
Dengan pemergiannya dari Sailors, perhatian kini beralih kepada siapa yang akan mengambil alih tanggungjawab membimbing juara bertahan SPL itu secara sepenuh masa, dengan hanya dua minggu sebelum musim SPL bermula.
