Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaris Goh juara Terbuka Antarabangsa Thailand buat kali pertama

Jul 31, 2023 | 4:02 PM
KEJUARAAN TERBUKA SULUNG: Pemain boling negara, Muhammad Jaris Goh berjaya menjuarai kejohanan Terbuka Antarabangsa Thailand pada Sabtu.
KEJUARAAN TERBUKA SULUNG: Pemain boling negara, Muhammad Jaris Goh berjaya menjuarai kejohanan Terbuka Antarabangsa Thailand pada Sabtu. - Foto ABF-ONLINE.ORG

Sebaik sahaja menyedari beliau telah memenangi gelaran Masters Terbuka Lelaki di Terbuka Antarabangsa Thailand pada Sabtu, pemain boling negara, Muhammad Jaris Goh, menggenggam tangannya sambil berteriak meraikan kemenangan.

Sorakan meriah itu adalah sesuatu yang istimewa bagi Goh, 28 tahun, dan ada beberapa sebab mengapa kemenangannya ke atas pemain Malaysia, Nevern Netaneel, 225-181 dalam perlawanan akhir peringkat stepladder menimbulkan reaksi sedemikian daripadanya.

Kemenangan tersebut sudah lama dinantikan pemain Singapura itu, yang sudah dua kali pada 2018 menduduki tempat kedua dalam Piala Emir dan Terbuka Antarabangsa Dubai.

“Saya sangat gembira dan lega kerana ini adalah gelaran pertama saya untuk pertandingan Terbuka Lelaki, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Ia menggambarkan emosi bercampur di mana saya sangat gembira namun lega.”

Sejurus sebelum berlepas ke Thailand, Goh mengakui bahawa beliau bimbang dengan permainannya dan berkongsi dengan ketua jurulatih kanan kebangsaan, Jason Yeong-Nathan, mengenainya.

Sejak memenangi pingat emas beregu lelaki di kejohanan Asia pada Januari, Goh berasa pencapaiannya tidak setanding, tetapi Yeong-Nathan memberi jaminan kepadanya bahawa ia tidak begitu.

Jurulatih itu terbukti benar apabila Goh merangkul gelaran Terbuka Lelaki sulungnya di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin di Bangkok pada Sabtu lapor The Straits Times.

Selepas menduduki tempat ke-22 dalam kelayakan dengan jumlah jatuhan 3,225 pin, Goh berada di tempat ke-11 dalam kalangan 12 pemain boling terbaik dalam pusingan kedua Masters.

Tetapi beliau mempamerkan aksi mantap pada pusingan ketiga, mengungguli 12 peserta dengan jumlah jatuhan 1,443 pin, untuk mara ke final sebagai pilihan utama.

Beliau berkata “sebelum berlepas ke Thailand, saya kecewa dengan diri sendiri dan bertanya (jurulatih) apa yang perlu saya lakukan untuk memperbaiki diri tetapi (jurulatih) memberitahu saya, jangan risau, anda berada di landasan yang betul”.

“Saya tahu saya berada di landasan yang betul untuk maju, dan ia menunjukkan bahawa latihan saya membuahkan hasil kerana beberapa kejohanan terakhir yang saya sertai sebelum ini, saya mara sehingga ke pusingan dua, pusingan tiga, tetapi bukan stepladder dan saya tertanya-tanya, ‘Bila masa saya akan capainya?’

“Saya mempunyai beberapa pertandingan pada 2023 dan saya berjaya melayakkan diri dan bermain dengan cukup baik untuk kelayakan, jadi apabila ia datang ke peringkat Masters, ia adalah markah di bawah par jadi sekurang-kurangnya saya tahu saya berada dalam perkembangan yang betul.”

Tetapi memenangi gelaran itu tidak datang dengan mudah bagi Goh, yang terpaksa mengawal emosinya.

Selepas layak ke anak tangga sebagai pilihan utama, beliau terpaksa mengendali perasaan dan mengekalkan tumpuannya pada apa yang perlu dilakukan untuk mengelak daripada terbawa-bawa.

Beliau akan menenangkan dirinya selepas setiap pukulan dengan meneguk air atau bercakap dengan jurulatih dan rakan sepasukannya.

Goh berkata: “Ia berada dalam fikiran saya semasa menunggu untuk bermain dalam perlawanan saya.

“Perkara sebegini mula bermain di fikiran anda kerana saya adalah pilihan utama jadi saya hanya menonton perlawanan akhir seperti jangan kacau ini, jangan buat ini, jangan buat itu tetapi saya terus berpesan kepada diri sendiri supaya tidak fikirkan tentang itu. Lakukan perkara yang sama dan ia akan membawa anda ke sana.”

Ini juga merupakan kemenangan istimewa untuknya, menjelang ulang tahun penolong jurulatih kebangsaan Vincent Lim dan hari lahir bapanya, masing-masing pada 7 dan 8 Ogos, serta Hari Kebangsaan.

Lim memuji Goh, sambil berkata: “Pada akhir setiap kejohanan, kami menilai apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik...

“Latihan berorientasikan proses yang konsisten yang kami pelajari semula selepas setiap pertandingan, membolehkan Jaris dan pasukan membina kekuatan mereka dan memperbaiki kelemahan mereka supaya mereka terus bertambah baik.

“Keputusan ini pastinya akan memberikan Jaris lebih kepercayaan terhadap diri sendiri dan keupayaannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg