Topik diikuti
Pergi ke BHkuJepun rai perlawanan ke-1,000 Piala Dunia
Jepun rai perlawanan ke-1,000 Piala Dunia
Belasah Tunisia 4-0, Tunisia tersingkir dari Piala Dunia
Jepun rai perlawanan ke-1,000 Piala Dunia
MONTERREY (Mexico): Jepun menepati ramalan meraikan perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia dengan membelasah Tunisia 4-0 pada 20 Jun, sekali gus semakin hampir melangkah ke pusingan 32 terakhir.
Ayase Ueda menjaringkan dua gol, manakala Daichi Kamada dan Junya Ito masing-masing membuat satu jaringan untuk membolehkan gergasi Asia itu berkongsi empat mata bersama Belanda di kedudukan dua teratas Kumpulan F.
Biarpun berkongsi mata yang sama, Belanda menduduki tempat teratas hasil kelebihan jumlah jaringan selepas meledak keseluruhan tujuh gol setakat ini, berbanding enam gol yang dihasilkan Jepun.
Tunisia, yang sebelum ini kalah 5-1 dengan Sweden dalam perlawanan pertama mereka, kini menduduki tempat terakhir dalam kumpulan tersebut, sekali gus menamatkan harapan mereka untuk mara ke peringkat kalah mati.
Sepanjang 96 tahun penganjuran Piala Dunia, hanya lapan negara pernah menjulang trofi berprestij itu dengan berkongsi 22 kejuaraan keseluruhan.
Sepanyol menjadi juara terakhir yang menang sejak 2010.
Jepun sebelum ini secara terbuka menyatakan impian serta perancangan jangka panjang mereka untuk menyertai senarai juara dunia berkenaan, dan kemenangan besar ke atas Tunisia ini dilihat sebagai bukti awal kepada kesungguhan skuad Blue Samurai itu.
Keputusan itu juga mencatatkan margin kemenangan terbesar yang pernah direkodkan Jepun sepanjang sejarah penampilan mereka di pentas Piala Dunia.
Sebelum ini, rekod kemenangan terbesar mereka hanyalah dengan perbezaan dua gol, iaitu ketika menewaskan lawan yang sama, Tunisia 2-0 pada edisi 2002 serta kemenangan 3-1 ke atas Denmark pada 2010.
Buat pertama kali sejak membuat penampilan sulung pada edisi 1998, Jepun turun selaku pasukan pilihan dan benar-benar mengawal permainan sepanjang 90 minit perlawanan.
Pendekatan agresif itu ternyata berbeza dengan corak permainan mereka pada edisi 2022 di Qatar.
Keputusan itu merupakan permulaan tidak baik bagi pengurus baru Tunisia, Herve Renard, yang dilantik secara tergesa-gesa bagi menerajui kempen Piala Dunia negara itu selepas pengurus sebelum ini, Sabri Lamouchi, dipecat susulan kekalahan besar kepada Sweden.
Namun, skuad pimpinan Renard kelihatan langsung tidak mampu menggugat barisan pemain Jepun yang memiliki kelebihan teknikal dan pantas melakukan hantaran kemas yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka.
Daichi Kamada membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan jarak dekat selepas menerima hantaran kemas hasil gandingan Ao Tanaka dan Keito Nakamura.
Skuad gergasi Asia itu hampir menambah gol kedua beberapa ketika kemudian, namun tindakan tangkas Dylan Bronn yang mengeluarkan bola di atas garisan gawang mengecewakan Jepun.
Penjaga gol Tunisia, Aymen Dahmen, turut dipaksa bekerja keras menepis keluar rembatan berbahaya pasukan Jepun yang hampir melepasi garisan gol.
Jepun bagaimanapun akhirnya berjaya mengukuhkan kedudukan pada minit ke-31 apabila penyerang, Ayase Ueda, mengambil kesempatan atas kerapuhan benteng pertahanan Tunisia untuk memecut ke depan sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru bawah gawang dari luar kotak penalti.
Dua lagi gol dijaringkan semasa separuh masa kedua, selepas Junya Ito bijak menyambut hantaran jauh dan menjaringkan gol dengan tenang pada minit ke-69, manakala Ueda sekali lagi meledak gol menerusi tandukan pada minit ke-83. – AFP.
