SPH Logo mobile
Langgan|

Johnson mahu kembalikan bayaran ‘rahsia’ AS$500,000

Johnson mahu kembalikan bayaran ‘rahsia’ AS$500,000

Juara Olimpik empat kali telah labur lebih AS$2j dalam liga Grand Slam Track, yang failkan muflis di Amerika
Mar 26, 2026 | 2:01 PM

Johnson mahu kembalikan bayaran ‘rahsia’ AS$500,000

Atletik, Michael Johnson, bayaran, Grand Slam Track, muflis
Juara Olimpik empat kali, Michael Johnson, menjelaskan bahawa AS$500,000 itu merupakan pembayaran balik kepadanya dan bukan bayaran, untuk mengelakkan gangguan dek pembatalan acara Grand Slam Track yang memfailkan muflis pada Disember 2025. - Foto INSTAGRAM

NEW YORK: Juara Olimpik bagi atletik sebanyak empat kali, Michael Johnson, telah mengesahkan bahawa beliau akan mengembalikan sejumlah AS$500,000 ($641,000) yang dibayar “secara rahsia” kepada dirinya sendiri hanya beberapa hari sebelum kegagalan melanda liga Grand Slam Track (GST) di Amerika Syarikat.

Tiga acara GST telah diadakan – di Kingston, Miami dan Philadelphia – sebelum projek itu gagal pada Disember 2025.

Para atlet yang menandatangani kontrak telah dijanjikan hadiah wang dan gaji lumayan dalam musim sulung pertandingan itu, tetapi acara terakhirnya dibatalkan dan penganjur kemudiannya secara sukarela memfailkan muflis di Amerika.

Antara perkara dalam satu pemfailan undang-undang di Delaware oleh vendor yang mengemukakan dakwaan terhadap Johnson dan GST, ialah tuduhan bahawa lapan hari sebelum kegagalan projek itu, beliau telah “secara rahsia” membayar dirinya sendiri AS$500,000.

Namun, GST menyifatkan tuduhan itu “tidak berasas dan palsu”.

Seorang jurucakap GST berkata: “Johnson telah menjelaskan bahawa AS$500,000 itu merupakan pembayaran balik dan bukannya bayaran, untuk mengelakkan gangguan.”

Menurut jurucakap itu lagi, Johnson dan Winners Alliance telah bersetuju untuk membiayai AS$500,000 supaya “semua pemiutang mendapat manfaat dan menerima pengagihan yang lebih besar berkaitan dengan penyusunan semula syarikat itu dan usaha untuk menghidupkan semula liga”.

Pada Mei 2025, Johnson telah melaburkan AS$2.25 juta ke dalam perniagaan tersebut, selepas Eldridge Industries memutuskan untuk tidak melabur AS$40 juta.

Jurucakap Johnson berkata: “Michael telah menegaskan pembelaan terhadap dakwaan tersebut, termasuk bahawa ia adalah sebahagian pembayaran balik lebih AS$2 juta daripada pendahuluan perbelanjaan oleh Michael untuk manfaat atlet.”

GST telah bersetuju untuk meminda rancangannya untuk keluar daripada muflis, dengan sumber-sumber berkata tawaran baru itu bermakna para atlet menerima 70 peratus daripada wang hadiah mereka tetapi pemiutang tanpa cagaran hanya akan diberikan sekitar 15 peratus.

Pemiutang tersebut termasuk sebuah syarikat penyiaran yang sepatutnya dibayar AS$3.1 juta.

Bekas juara dunia 1,500 meter, Josh Kerr, adalah salah seorang atlet Britain yang telah dijemput untuk menjadi sebahagian daripada liga tersebut, dan dokumen undang-undang mendakwa beliau masih perlu dibayar AS$168,750.

Persatuan Pengurus Atletik, yang mewakili beberapa peserta, berkata pada Januari bahawa GST mempunyai hutang lebih AS$30 juta.

World Athletics berkata ia hanya akan mempertimbangkan untuk melesenkan atau menyokong sebarang acara GST pada masa depan sebaik sahaja hutangnya daripada musim 2025 dilunaskan.

Dalam satu kenyataan pada Februari, badan pentadbir itu berkata:

“Adalah tidak masuk akal bahawa usaha akan dibuat untuk GST dimulakan semula pada 2026 tanpa penyelesaian hutang tertunggak kepada atlet, vendor dan penyedia perkhidmatan.”

Syarikat media BBC telah mengesahkan tiada rancangan untuk menggunakan Johnson, 58 tahun, dalam liputan olahraganya pada 2026.

Jurucakap Johnson berkata:

“Michael ingin menjelaskan bahawa keputusannya adalah untuk tidak meneruskan penampilannya bersama BBC selepas Sukan Paris 2024.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg