Pada permulaan musim 2024, Jordan Emaviwe menggariskan tiga objektif utama: menjadi pemain tetap sebelas pertama Balestier Khalsa dalam Liga Perdana Singapura; mendapatkan panggilan pasukan kebangsaan; dan mendapat tempat dalam skuad Singa bagi Kejohanan Asean.
Dengan ketiga-tiga matlamat tercapai, pemain pertahanan tengah berusia 23 tahun itu memulakan 2025 bersama pasukan dan cita-cita baru dengan menyertai pasukan Liga 1 Thailand, Chiangrai United, lapor The Straits Times.
Emaviwe mencabar dirinya untuk mempamerkan bakat dan memperoleh kontrak di luar negara lebih lama – perjanjian sehingga akhir musim pada April – dan mengekalkan kelab itu dalam rangking teratas.
Pasukan dengan gelaran The Beetles itu kini berada di ambang penyingkiran – menduduki tempat ke-14 dalam liga 16 pasukan.
“Setahun lalu saya menetapkan beberapa matlamat untuk diri saya sendiri dan saya berasa bahawa jika saya ingin mencapai semua perkara, sudah tiba masanya saya pergi dan mencabar diri di luar Singapura,” kata Emaviwe, yang juga menerima tawaran daripada kelab Thailand lain dan kelab di Indonesia, sebelum memilih Chiangrai.
Kelab itu mengumumkan kedatangan Emaviwe di laman media sosial mereka pada 7 Januari, menyatakan bahawa beliau “bersedia memakai jersi No. 6 untuk memperkuatkan Chiangrai” sambil menyifatkan beliau sebagai pemain serba boleh yang boleh bermain sebagai pertahanan dan penyerang.
Walaupun ini bukan pengalaman pertamanya bermain di luar negara – beliau menghabiskan masa di kelab divisyen dua Switzerland FC Chiasso dan pasukan serantau Italy FC Castiglione antara 2017 dan 2020 – Emaviwe berkata kehadiran Harhys Stewart, rakan senegaranya yang menyertai kelab itu Januari lalu, di barisan Chiangrai membantu menariknya ke utara Thailand.
Bersama pasangan itu, adik-beradik Irfan Fandi (Port FC), Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi (kedua-duanya BG Pathum United) turut beraksi dalam Liga Thailand.
Seorang lagi pemain Singapura yang beraksi di Liga Thailand ialahu Jacob Mahler (Muangthong United).
Pemain dengan ketinggian 1.93 meter itu – bapanya dari Nigeria dan ibunya wanita Cina Singapura – berkata:
“Berpindah ke luar negara boleh menjadi sukar – anda jauh daripada keluarga. Jadi, mempunyai rakan yang berada di sini yang telah melalui proses ini amat membantu.
“Dia (Stewart) sudah membantu saya berpindah, menunjukkan saya dan memperkenalkan saya kepada orang di sini. Ia telah membuat perpindahan ini lebih mudah.”
2024 adalah tahun yang bermakna bagi Emaviwe. Aksinya yang mantap dengan Balestier dan jaringan empat gol dalam 18 penampilan dalam musim domestik memukau ramai penyokong.
Emaviwe juga menerima panggilan pertama Singa Mei lalu untuk pertandingan kelayakan Piala Dunia menentang Korea Selatan (6 Jun, di sini) dan Thailand (11 Jun, di tempat lawan).
Penampilan sulungnya dengan skuad kebangsaan berakhir dengan kekalahan 3-2 kepada Chinese Taipei di Stadium Nasional November lalu.
Jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, kemudian menamakan Emaviwe dalam skuad Kejuaraan Asean, walaupun pemain pertahanan itu hanya tampil sebagai pemain gantian lewat dalam kemenangan 3-0 menentang Timor-Leste.
Pasukan itu kemudian dikalahkan oleh Vietnam di separuh akhir, dengan Vietnam akhirnya muncul sebagai juara.
Emaviwe mengaku kecewa kerana tidak dapat menyumbang lebih banyak ketika mara ke empat pertandingan terakhir. Namun beliau menguatkan azam akan bermain dengan baik untuk kelab barunya dan ingin mendapat panggilan ke skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong pada Mac akan datang.
Pemain pertahanan itu, yang masih mempunyai cita-cita bermain di Jepun, Korea Selatan atau Eropah, berkata: “Sudah tentu, saya bermotivasi untuk mendapat panggilan semula pada Mac dan kali ini saya bukan sahaja mahu dipanggil, malah mahu menyertai kesebelasan pertama.
“Pertama, saya mahu bermain di sini (Thailand) dan menunjukkan bahawa saya boleh bersaing, dan kemudian saya akan melihat ke mana ia membawa saya.
“Sekiranya saya dapat mempamerkan persembahan baik untuk kelab, bantu mereka kekal dan maju ke peringkat liga, siapa tahu apa yang akan berlaku seterusnya... sama ada ikat kontrak dengan kelab (lain) atau lanjut di sini.
“Saya mahu memberi yang terbaik untuk Chiangrai.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg