Topik diikuti
Pergi ke BHkuJuara dunia F1 termuda Antonelli: persiapan bagi 2027 ‘mula dari sekarang’
Bakal beraksi di Grand Prix Sao Paulo hujung minggu ini
Juara dunia F1 termuda Antonelli: persiapan bagi 2027 ‘mula dari sekarang’
SAO PAULO (Brazil): Juara dunia baharu Formula Satu (F1), Kimi Antonelli, berkata beliau menganggap baki perlumbaan musim ini sebagai titik permulaan kempennya bagi mempertahankan kejuaraan 2027.
Pelumba kereta Mercedes itu muncul juara dunia F1 termuda dalam sejarah dalam penampilan musim keduanya – selepas mengesahkan kejuaraan di Grand Prix (GP) Mexico City hujung minggu lalu.
Antonelli, 20 tahun, bakal beraksi buat kali pertama sejak dinobatkan sebagai juara dunia, pada GP Sao Paulo hujung minggu ini.
“Sejujurnya saya sangat teruja berada di sini. Ini peluang terbaik buat saya, pertama sekali, untuk cuba tamatkan musim ini pada kedudukan tertinggi. Namun saya juga merasakan persiapan menjelang 2027 bermula sekarang.
“Adalah penting untuk menamatkan musim ini dengan baik dan mantap supaya saya dapat membina keyakinan menjelang 2027,” katanya.
Antonelli turut melawat kediaman keluarga pelumba legenda, Ayrton Senna, pada 3 November dan sempat duduk di dalam kenderaan Lotus era 1980-an yang pernah dipandu juara dunia tiga kali itu.
Beliau bakal mengenakan topi keledar dengan reka bentuk baharu untuk memberi penghormatan kepada mendiang Senna di Litar Interlagos hujung minggu ini.
Mengulas kejayaannya semasa hari media di litar pada 5 November, Antonelli berkata:
“Saya sebenarnya inginkan sedikit masa untuk benar-benar memahami apa yang sudah berlaku.
“Segalanya berlaku dengan begitu luar biasa sejak beberapa hari kebelakangan ini. Saya memenangi kejuaraan dunia, kemudian meluangkan masa bersama keluarga Senna, yang sememangnya sudah merupakan satu peristiwa yang luar biasa.
“Sudah tentu saya inginkan sedikit masa untuk sekadar duduk, menyorot kembali dan benar-benar memahami apa yang telah berlaku.”
Beliau menyifatkan kejayaan bergelar juara dunia itu “masih terasa sukar untuk dipercayai”.
Antara detik paling bermakna buatnya di Mexico pada 1 November adalah apabila Lewis Hamilton dan Max Verstappen menjulang beliau di atas bahu mereka di atas podium selepas tamat perlumbaan itu.
“Saya sudah meletakkan gambar itu dalam bingkai dan pasti akan menggantungnya di dinding kerana ia detik yang sangat bermakna.
“Siapa sangka? Saya sendiri tidak pernah menyangka akan meraikan kejuaraan saya dengan cara sebegitu. Apabila mereka menjulang saya, ia ibarat penutup paling sempurna.
“Saya akan sentiasa menghargai tindakan mereka itu kerana pertama sekali, menerima penghormatan sebegitu (besar) daripada dua pemandu hebat yang melakar sejarah sukan ini adalah sesuatu yang sangat istimewa.” – Agensi berita.