MEXICO CITY: Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Kimi Antonelli yang muncul juara dunia Formula Satu (F1) termuda pada usia 20 tahun 68 hari pada 1 November.

Ini selepas beliau menamatkan perlumbaan di tempat ketiga buat Mercedes dalam Grand Prix (GP) Mexico City.

Perlumbaan yang terpaksa dihentikan seketika susulan kibaran bendera merah itu akhirnya dimenangi pemandu Red Bull, Max Verstappen.

Juara pertama dari Italy sejak 1953 itu menahan sebak di radio pasukan sejurus melintasi garisan penamat di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez pada altitud tinggi, sekali gus memastikan kelebihan 119 mata dalam kedudukan keseluruhan pemandu kini mustahil untuk dicabar.

Pemandu Ferrari, Lewis Hamilton, yang bermula dari petak utama, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan jurang tipis selepas bertembung dengan rakan sepasukan, Charles Leclerc.

Perlumbaan petang itu sarat dengan cabaran apabila menyaksikan kemasukan kereta keselamatan sebanyak dua kali, beberapa siri kemalangan serta penangguhan perit selama 33 minit ketika saingan berbaki 25 daripada 71 pusingan.

“Terbaik, Kimi. Juara dunia,” kata jurutera perlumbaannya, Peter Bonnington.

“Kami berjaya lakukannya, terima kasih banyak-banyak,” kata pemandu Italy itu dalam nada teruja sebelum dipeluk ibu bapa dan adik perempuannya sebaik keluar dari kenderaan, disusuli sambutan meriah daripada kru pitnya.

Rekod juara termuda sebelum ini dipegang pemandu Jerman, Sebastian Vettel, yang merangkul gelaran pertama daripada empat kejuaraannya bersama Red Bull pada usia 23 tahun 134 hari pada 2010.

“Saya hilang kata-kata. Saya masih cuba menghadam apa yang baru berlaku.

“Ia satu musim yang luar biasa, dan dapat berkongsi podium bersama Max dan Lewis adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Saya tidak sabar menantikan lebih banyak pertarungan sengit pada masa akan datang,” kata Antonelli kepada para penyokong. 

“Hujung minggu ini saya berasa sedikit gementar, tetapi saya sangat gembira kami berjaya menyelesaikannya, dan kini kami boleh menikmati baki musim ini,” tambahnya, sambil mengibarkan bendera Italy di atas podium.

Kali terakhir Italy meraih kejuaraan dunia ialah pada 73 tahun lalu, yang dirangkul oleh mendiang Alberto Ascari di bawah pasukan Ferrari.

Leclerc menamatkan perlumbaan di GP Mexico City di tempat keempat, manakala juara bertahan dari McLaren, Lando Norris, sekadar menduduki tempat kelima dan rakan sepasukan Antonelli, George Russell, di kedudukan keenam dalam aksi yang perlu dimenanginya untuk menghidupkan sisa peluang memenangi kejuaraan.

Keputusan itu turut menyaksikan Verstappen melonjak ke tangga kedua kedudukan keseluruhan pelumba dengan 261 mata, diikuti Hamilton di tempat ketiga dengan 259 mata.

Manakala pilihan utama sebelum musim bermula, Russell, menjunam ke tangga keempat dan ketinggalan 130 mata di belakang Antonelli yang menerajui carta kedudukan pelumba dengan 380 mata yang mustahil dicabar pelumba lain.

Pemandu McLaren, Oscar Piastri, menamatkan saingan pada 1 November di tempat ketujuh, mengatasi Franco Colapinto dari Alpine dan pelumba Racing Bulls, Liam Lawson. 

Pierre Gasly dari Alpine melengkapkan kedudukan 10 terbaik. – Reuters.

“

“Ia satu musim yang luar biasa, dan dapat berkongsi podium bersama Max (Verstappen) dan Lewis (Hamilton) adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Saya tidak sabar menantikan lebih banyak pertarungan sengit pada masa akan datang.” 
 Kimi Antonelli.