Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara Olimpik Lydia Ko akhiri kemarau 8 tahun, menangi golf Terbuka Britain

Aug 26, 2024 | 5:13 PM
Pemain golf New Zealand, Lydia Ko, menamatkan saingan dengan gaya juara ‘birdie’ hebat di lubang ke-18 untuk melengkapkan pusingan tiga bawah par 69.
Pemain golf New Zealand, Lydia Ko, menamatkan saingan dengan gaya juara ‘birdie’ hebat di lubang ke-18 untuk melengkapkan pusingan tiga bawah par 69. - Foto AFP

ST ANDREWS (Scotland): Lydia Ko berkata beliau seperti menikmati kisah ‘Cinderella’ selepas mengakhiri penantian lapan tahun untuk menjuarai gelaran Major dengan memenangi Terbuka Britain bagi Wanita di St Andrews, Scotland pada 25 Ogos.

Kemenangan itu diraih dua minggu selepas beliau memenangi pingat emas Olimpik di Paris.

Pemain New Zealand itu menamatkan saingan dengan gaya juara dengan ‘birdie’ hebat di lubang ke-18 untuk melengkapkan pusingan tiga bawah par 69 dan meraih gelaran Major ketiganya.

Kejayaannya itu adalah yang pertama sejak Kejohanan Chevron 2016.

“Ia adalah nyata. Memenangi pingat emas di Paris beberapa minggu lalu hampir terlalu baik untuk menjadi kenyataan.

“Menjelang hujung minggu saya fikir bagaimana mungkin untuk saya memenangi Terbuka British?” kata wanita berusia 27 tahun itu, yang membawa pulang cek bernilai AS$1,425,000 ($1.85 juta) – jumlah tertinggi dalam sejarah 48 tahun pertandingan itu.

“Daripada semua kejuaraan Major, ini adalah yang paling kurang saya yakini,” kata beliau kepada akhbar, Sky Sports.

Ko, yang ketika berusia 17 tahun menjadi pemain termuda yang menduduki kedudukan nombor satu dalam golf profesional, menambah:

“Ia adalah seperti kisah Cinderella yang berlaku dua minggu lalu. Memegang trofi ini sekarang adalah satu pencapaian tidak terhingga. Dua matlamat saya adalah untuk par ke-11 dan ‘birdie’ ke-18, saya telah mencapai kedua-duanya.

“Saya selalu berkata saya mahu memenangi satu lagi kejuaraan Major tetapi sekarang saya muncul sebagai juara Major tiga kali,” ujar Ko dengan penuh girang.

Apabila ditanya di mana beliau akan meletakkan kemenangan itu bersama gelaran Olimpiknya dan dua Major lain, Ko menjawab:

“Itu seperti bertanya kepada saya siapa yang paling saya suka, ibu atau ayah saya!”

Juara bertahan Lilia Vu gagal melakukan pukulan ‘birdie’ 15 kaki pada pukulan terakhir di ‘Home of Golf’, untuk memaksa play-off dan kemudian terlepas dari jarak hampir 12 inci ketika Ko menyempurnakan dua pukulan kemenangan.

Juara nombor satu dunia Nelly Korda pada awalnya mendahului dengan dua pukulan pada tee ke-14 di padang golf terkenal di pantai timur Scotland selepas melakukan tiga ‘birdie’ dalam empat lubang di sekeliling selekoh.

Tetapi pemain Amerika Syarikat itu kemudian mengambil tujuh pukulan pada par lima ke-14.

Usahanya untuk menang akhirnya tamat dalam pukulan ke-17. Korda berada di tempat kedua bersama Vu, diikuti Yin Ruoning dan Shin Ji-yai. – AFP, Reuters.

“Ia adalah seperti kisah Cinderella yang berlaku dua minggu lalu. Memegang trofi ini sekarang adalah satu pencapaian tidak terhingga.”
Lydia Ko, atlet golf yang telah menjuarai Terbuka Britain bagi wanita.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg