Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara pecut Olimpik ingin suntik inspirasi kepada atlet Afrika

Atlet asal Botswana menyerlah di Paris dan jadi orang Afrika pertama menang acara 200 meter
Dec 2, 2024 | 5:30 AM
Pelari pecut dan pemenang pingat emas 200 meter di Olimpik 2024 asal Botswana, Letsile Tebogo, berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada atlet lain.
Pelari pecut dan pemenang pingat emas 200 meter di Olimpik 2024 asal Botswana, Letsile Tebogo, berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada atlet lain. - Foto AFP

Selepas mengalahkan kuasa besar Amerika Syarikat dan Jamaica untuk merangkul pingat emas dalam acara pecut Olimpik bagi Afrika, Letsile Tebogo, berhasrat untuk menonjolkan potensi ‘luar biasa’ yang belum diterokai oleh atlet dari benua itu.

Atlet asal Botswana berusia 21 tahun itu, merupakan salah seorang peserta hebat yang menyerlah di Paris pada 2024.

Beliau menjadi orang Afrika pertama memenangi acara 200 meter dan perak bagi kategori lelaki dalam acara 4x400 meter larian berganti.

Pemenang pingat emas Olimpik pertama Botswana itu mencatat rekod 200 meter untuk benua Afrika, dengan larian masa 19.46 saat, sekali gus meletakkannya di tempat kelima dalam senarai pelari terbaik sepanjang zaman dunia dan menewaskan bintang Amerika, Noah Lyles, yang menduduki tempat ketiga.

Ia berlaku hanya beberapa bulan selepas beliau mengalami trauma kehilangan ibunya, Seratiwa, yang meninggal dunia pada Mei.

Tebogo menganggap ibunya itu sebagai “kuasa dan pendorong” di sebalik kejayaannya.

Sejak penghujung musim kejohanan Liga Diamond yang berlangsung sebelum ini, beliau telah meluangkan masa di ladang selaku petani di Botswana, tetapi dalam beberapa minggu akan datang, beliau akan mula membangunkan masa depannya dalam bidang atletik.

““Olimpik telah membawa saya ke tahap yang berbeza.

“Ia telah membuka banyak peluang kepada saya.

“Ia juga telah banyak memperkasa belia di negara ini, di benua Afrika, kerana kini ramai belia mahu melibatkan diri dalam sukan, bukan hanya olahraga, kerana saya telah menunjukkan kepada mereka bahawa segala-galanya boleh dilakukan dan dicapai,” kata Tebogo kepada agensi berita, AFP di London.

Tebogo sedang membina warisan pelari, Frankie Fredericks, yang dianggap sebagai pelopor bagi pelari pecut Afrika moden.

Namun Tebogo sudah melangkah lebih jauh daripada atlet Namibia itu, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada Sukan Olimpik 1992 dan 1996.

Kini Tebogo berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Saya percaya ada potensi sebenar di Afrika, cuma kita tidak mempunyai sumber sebanyak negara lain.

“Jadi jika kita mempunyai sumber, maka Afrika boleh menjadi salah satu benua yang paling hebat,” tambahnya.

Tebogo mahu wang awam digunakan untuk melatih jurulatih, menambah baik kemudahan dan stadium, untuk menggalakkan atlet muda digilap.

“Sebaik sahaja anda menemui permata di Afrika, anda tidak tahu bila anda akan menemui permata seterusnya.

“Ini kerana kami mempunyai bakat, tetapi kami tidak mempunyai jurulatih,” ujar Tebogo.

Suasana di Botswana bertukar menjadi pesta selepas kejayaan Tebogo di Paris, dengan presiden negara tersebut ketika itu, Encik Mokgweetsi Masisi, mengisytiharkan cuti umum setengah hari, dan Tebogo kemudian dihadiahkan dua rumah oleh pihak pemerintah.

Namun beliau tidak biasa dengan suasana glamor yang biasa ditonjolkan bintang pecut lain.

Beliau lebih gemar menyendiri dan berkata yang dirinya tidak berminat untuk mencontohi cara Lyles memperkenalkan diri semasa masuk ke trek balapan.

Malah sebelum ini Tebogo menyifatkan pesaing asal Amerika itu sebagai “sombong” dan “lantang”.

“Maksud saya, saya hanya membiarkan kaki saya ‘bercakap’ kerana saya seorang yang pendiam.”

“Jadi jika beliau (Lyles) melakukan apa yang biasa dilakukannya, kerana itulah dirinya, kita perlu menerima caranya dan kemudian teruskan kehidupan,” kata Tebogo, yang mengunjungi London bagi satu acara bersama penajanya.

Menurutnya beliau kurang suka dengan episod terbaru rancangan di Netflix berjudul, Sprint, dengan menyatakan bahawa ia “pertunjukan Amerika” yang mana program itu “terlalu taasub dengan bintang Amerika”.

Tebogo, yang membuktikan dirinya di pentas dunia dengan memenangi perak dalam larian pecut 100 meter dan gangsa acara 200 meter pada kejohanan dunia 2023 di Budapest, mengakui popularitinya kini membawa kebaikan dan negatif.

“Kesan positifnya ialah anda mendapat pengiktirafan di mana-mana sahaja anda pergi.

“Sekarang anda boleh membuka peluang untuk diri sendiri dengan jenama sendiri.

“Bagaimanapun, apabila sudah menjadi seorang yang terkenal, semua memandang tinggi kepada anda.

“Setiap langkah yang anda ambil, semua memerhatikan jika anda melangkah dengan betul,” tambah Tebogo.

Tebogo yang minat dengan sukan seperti bola sepak sewaktu remaja, memutuskan untuk menumpukan perhatian pada olahraga pada usia agak lewat.

Beliau mengakui belum selesai mencapai apa yang dihasratkan sebagai jaguh atlet, tetapi yakin akan mencapai sesuatu pada 2025.

“Kami belum duduk bersama jurulatih dan pasukan untuk membincangkan rancangan kami bagi musim 2025, tetapi saya percaya seseorang akan membanggakan Afrika.

“Itulah yang utama dan tidak akan berubah, tidak kira tahun apa, musim apa pun ia berlaku,” ujar Lebogo. – Agensi berita.

Olimpik buka banyak peluang

“Olimpik telah membawa saya ke tahap yang berbeza. Ia telah membuka banyak peluang kepada saya. Ia juga telah banyak memperkasa belia di negara ini, di benua Afrika, kerana kini ramai belia mahu melibatkan diri dalam sukan, bukan hanya olahraga, kerana saya telah menunjukkan kepada mereka bahawa segala-galanya boleh dilakukan dan dicapai.”
Harapan bagi Afrika

“Saya percaya ada potensi sebenar di Afrika, cuma kita tidak mempunyai sumber sebanyak negara lain. Jadi jika kita mempunyai sumber, maka Afrika boleh menjadi salah satu benua yang paling hebat... Ini kerana kami mempunyai bakat, tetapi kami tidak mempunyai jurulatih.”
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg