Setelah bertahun-tahun bermain bola lantai, pemain muda, Irfan Aniq Masrezwan, berehat selama dua tahun daripada sukan itu semasa pandemik Covid-19.
Beliau bertukar angin dan masuk ke gelanggang sepak takraw.
Tempoh itu menyaksikannya meraih gelaran juara sepak takraw bagi kategori Bawah 16 Tahun (U-16), U-18, U-21 dan Terbuka bersama kelabnya, Mayang Putra.
Tetapi, pada awal 2023, pemain berusia 18 tahun itu memberikan bola lantai – sukan yang diceburinya sejak berusia sembilan tahun – satu lagi peluang.
Kemunculan semula Irfan dalam bola lantai menyaksikan beliau membantu sekolahnya, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), menjulang trofi kejuaraan Kejohanan POL-ITE, atau pertandingan antara politeknik dengan ITE, pada 2023.
Setahun kemudian, beliau mendapat tempat dalam pasukan nasional lelaki U-19.
Pasukan itu bakal mewakili Singapura dalam Kelayakan Konfederasi Bola Lantai Asia Oceania (AOFC) untuk Kejohanan Bola Lantai Dunia U-19 Lelaki 2025.
Kelayakan itu akan berlangsung dari 20 hingga 22 September di Kepulauan Solomon – iaitu kali pertama acara bola lantai antarabangsa diadakan di negara Oceania tersebut.
Selain Singapura, ia akan menampilkan tiga lagi pasukan – New Zealand, Australia dan Jepun – dengan dua pasukan teratas dalam kelayakan mara ke Kejohanan Dunia di Switzerland pada April 2025.
Irfan, yang dilantik naib kapten pasukan nasional U-19, rasa bercampur baur untuk penampilan sulungnya di arena antarabangsa.
“Pada awalnya, saya rasa gembira tetapi juga rasa takut kerana ini adalah satu perkara yang besar untuk saya dipanggil dalam skuad nasional,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
“Saya kemudian mendapat tahu saya dipilih sebagai naib kapten.
“Ia adalah satu tanggungjawab besar sebab saya harus menjadi contoh baik kepada rakan sepasukan yang lain supaya kami dapat menjadi pasukan yang mantap.”
Pelajar tahun kedua pengajian Nitec dalam teknologi mekanikal di ITE Kolej East itu berkongsi bahawa ini merupakan percubaan keduanya untuk menyertai skuad nasional U-19.
Pada 2023, beliau terlepas mendapat panggilan itu. Justeru, kemasukannya dalam pasukan Singapura amat bermakna, ujarnya lagi.
“Saya sangat berbangga dengan diri saya,” kata Irfan, yang menyifatkan dirinya sebagai seorang pemain yang lebih tenang.
“Sebelum ini, saya sentiasa bermain dengan perasaan marah. Tetapi sekarang, saya lebih tenang.
“Saya juga pemain yang mempunyai ego yang tinggi. Jadi, saya belajar merendahkan diri, dengar kata jurulatih dan rakan sepasukan, dan menyesuaikan diri kepada gaya permainan mereka.
“Sekarang, saya boleh bermain dengan sesiapa...”
Dengan penyertaannya dalam skuad nasional U-19, Irfan berharap ia dapat membuka laluannya mewakili pasukan senior Singapura kelak.
“Matlamat saya seterusnya adalah memasuki pasukan senior nasional dan mewakili Singapura di Sukan SEA. Saya tidak mahu berhenti di sini. Saya ingin mencapai lebih banyak lagi,” jelasnya.
Singapura telah melayakkan diri ke Kejohanan Bola Lantai Dunia U-19 Lelaki sebanyak dua kali pada 2005 dan 2023.
Pencapaian terbaik negara adalah tempat ke-12 pada 2005, manakala mereka menamat persaingan edisi 2023 di tempat ke-15.
Sebanyak 16 pasukan bersaing dalam pertandingan tersebut.
Di Kepulauan Solomon, Irfan ingin membantu Singapura meraih kelayakan berturut-turutnya dalam kejohanan dunia.
“Saya berharap kami mendapat tempat pertama atau sekurang-kurangnya melayakkan diri ke kejohanan dunia tahun depan (2025).
“Saya ingin semua pemain menimba pengalaman yang terbaik mungkin dan berjuang habis-habisan di sana,” tambah anak kedua daripada enam beradik itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg