Alat pengesan kadar degupan jantung, kriteria pemilihan berasaskan statistik dan jadual latihan yang dirancang lebih awal.
Demikianlah antara daya usaha baru yang diperkenalkan oleh jurulatih pasukan bola lantai lelaki Singapura, Sonia Chia, untuk meningkatkan prestasi Singapura di pentas antarabangsa.
Sejak 2010, Singapura layak menyertai setiap edisi Kejohanan Bola Lantai Dunia (WFC) lelaki, kecuali pada 2014.
Bagaimanapun, pasukan Singapura menduduki tempat terakhir dalam kesemua enam penampilan dalam kejohanan dua tahun sekali itu.
Selepas meraih pingat emas di Singapura pada Sukan SEA 2015, pasukan tersebut menduduki tempat kedua pada edisi 2019, dan tempat ketiga pada edisi 2023.
Chia, yang dilantik selepas Sukan SEA 2023, berkata: “Jika kita telah melakukan sesuatu sepanjang lima tahun lalu dan ia tidak mencapai kejayaan (yang diingini), saya fikir ia bermakna perubahan (perlu dilakukan).”
Pada pusingan kelayakan WFC Asia-Oceania dari 21 hingga 25 Mei di Pasig, Filipina, Chia ingin pasukan Singapura bukan sahaja menjadi antara tiga pasukan terbaik yang menjamin tempat ke pusingan akhir di Sweden, malah memenangi pingat dalam acara lapan pasukan itu.
Singapura berada dalam Kumpulan F bersama Australia, China dan Jepun, lapor The Straits Times (ST).
Jurulatih berusia 40 tahun itu berkata: “Prestasi agak mendatar buat tempoh agak lama.
“Kejohanan ini baik untuk menilai bagaimana kami mengubah program ini dan sama ada kami melakukan tindakan yang betul.
“Ia adalah satu perubahan besar dalam susunan seluruh (pasukan) nasional dari segi cara pemain dilatih.”
Dengan pendekatan baru itu, tahap kecergasan pemain tidak lagi diukur melalui ujian makmal yang dibuat secara terasing.
Sebaliknya, pemain kini dilengkapi alat pengesan kadar degupan jantung yang dapat mengesan jarak pergerakan, kadar nadi dan kadar oksigen dalam darah semasa perlawanan, yang membantu dalam pengurusan penilaian.
Matriks lain seperti berapa kerap pemain menerima atau kehilangan bola, dan keputusan yang mereka lakukan di gelanggang, turut diambil kira.
Menurut Chia, sebelum ini, pemilihan dibuat lebih berdasarkan kepada kemahiran pemain.
“Apa yang kami lakukan dengan skuad sekarang adalah menilai mereka dengan menonton permainan menggunakan matriks baru.
“Ia sangat khusus dan adalah kiraan sebenar mengenai cara seseorang pemain berfungsi dalam sesebuah pasukan.
“Kini kami mempunyai data berasaskan nombor dan statistik untuk mengesahkan keputusan kami.”
Walaupun Chia ingin memperkenalkan pembaharuan yang menyegarkan, beliau turut menghadapi kritikan.
Pemain veteran, Ishwarpal Singh, berkata dalam satu hantaran di Instagram:
“Walaupun saya telah memenuhi kriteria pemilihan dan dipilih sejak dua bulan lalu, jurulatih memberitahu saya bahawa beliau tidak fikir saya cukup bagus untuk peringkat ini.”
Menurut atlet tersebut, beliau tidak diberi sebarang maklum balas mengenai aspek yang perlu dibaiki dan hanya dimaklumkan sekitar 48 jam sebelum waktu penerbangan bahawa beliau tidak akan diberi masa permainan, sebaliknya diberi pilihan untuk menarik diri.
Sambil menambah bahawa beliau telah “banyak berkorban untuk berlatih dan bersaing”, Ishwarpal menyifatkan layanan tersebut sebagai menunjukkan “sikap tidak hormat”.
Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA) menyatakan ia telah bertemu dengan atlet tersebut untuk menyelesaikan isu tersebut, dan Chia juga telah memohon maaf.
SFA akan menjalankan siasatan terhadap isu tersebut selepas pasukan Singapura kembali, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg