Di sebalik ketangkasan Aryan Azman di gelanggang gusti, terdapat perjalanan panjang yang bermula daripada judo semasa di bangku sekolah menengah.
Pendedahan awal itu membentuk asas kukuh untuk kejayaan masa depannya, membina kemahirannya dalam teknik asas seperti imbangan, kawalan cengkaman dan membaca pergerakan lawan.
“Sebenarnya kebanyakan teknik dan cara saya bergusti datang daripada judo.
“Judo banyak mengajar saya bagaimana mengawal gerakan saya dan bertindak dengan cepat,” kata pelajar jurusan Perniagaan di Politeknik Republic (RP) itu.
Bukan itu sahaja, Aryan, 20 tahun, kemudian mendalami seni bela diri sambo – seni bela diri yang berasal dari Russia – pada 2021.
Ia menambah dimensi baru dalam kemahiran gustinya.
Gaya pantas dan penekanan pada pertarungan tangan ke tangan dalam sambo membantunya mengembangkan gerakan yang kuat dan pantas serta pertingkatkan lagi kemahirannya untuk menyesuaikan diri di atas tikar gusti.
Walaupun seragam dan peraturan antara ketiga-tiga seni bela diri itu berbeza, gabungan disiplin itu memberikan Aryan kelebihan unik.
Beliau mampu menukar gaya bertarung mengikut rentak perlawanan, mengejutkan pesaingnya dan kekal tenang dalam sebarang keadaan.
Judo dan sambo bukan sahaja melengkapkan kemahiran gustinya, malah menjadikan Aryan pesaing antarabangsa yang lebih lengkap dan berbahaya walaupun baru berusia 20 tahun.
Aryan sudah mula mempamerkan bakatnya sejak 2022 apabila pada usia 17 tahun, beliau memenangi tempat keempat dalam Sukan SEA 2022, bagi acara gusti Greco Roman 82 kilogram (kg) Lelaki.
Sejak itu, beliau terus mengasah kemahirannya dan berjaya merangkul pingat perak dalam Sukan SEA 2023 bagi acara tersebut.
Beliau terus mengekalkan rentak kemenangannya, menambah koleksi pingatnya dalam pelbagai kejohanan tempatan dan serantau.
Walaupun memiliki pelbagai kemahiran dan pencapaian, Aryan tetap rendah hati dan terbuka untuk belajar daripada orang di sekelilingnya.
“Saya cuba belajar daripada semua orang. Saya pernah ke luar negara untuk kem latihan di negara seperti Kazakhstan dan Kemboja sejak saya berusia 17 tahun.
“Saya selalu bertanya mereka – bukan hanya mengenai gusti, malah tentang tabiat, persediaan dan cara pemikiran seorang atlet. Rakan sepasukan saya banyak membimbing saya,” akui Aryan.
Malah apabila ditanya tentang detik yang membanggakan bagi dirinya, beliau memilih kejayaan rakan sepasukannya, Timothy Loh, yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2023.
“Bersaing di Sukan SEA dan mendapatkan pingat perak sudah tentu detik yang membanggakan bagi saya.
“Tapi apa yang lebih membanggakan bagi saya ialah menyaksikan rakan sepasukan saya, Timothy Loh, menang pingat emasnya,” kata Aryan.
“Seluruh pasukan menyanyikan lagu kebangsaan bersama – sesuatu yang amat memberangsangkan dan menyentuh hati saya.
“Detik itu mendorong saya berusaha dengan lebih tekun lagi dan harap-harap saya ada di tempatnya pada masa depan,” tambah beliau.
Untuk mencapai matlamat tersebut, Aryan menjalani latihan intensif sekitar lapan hingga 10 kali seminggu, dengan jumlah masa latihan antara 16 dengan 20 jam di gim Jagsport yang terletak di kawasan Lavender.
Beliau dilatih oleh seorang atlet gusti berkebolehan, Gabriel Yang, yang baru-baru ini turut menjuarai Kejohanan Jemputan Asia Tenggara 2025 di Singapura.
Aryan kini mempersiapkan diri untuk Kejohanan Bawah-23 Tahun Asia di Vietnam yang akan berlangsung dari 18 hingga 26 Jun, dengan sasaran untuk menduduki tempat lima terbaik.
Selepas itu, beliau akan bertanding dalam Kejohanan Dunia Sambo Pantai di Singapura pada Ogos.
Semua itu dilihat sebagai persiapan untuk Sukan SEA di Thailand pada Disember.
Selain berlatih untuk kejayaan peribadi, Aryan turut komited untuk membentuk masa depan sukan judo, gusti, dan sambo di Singapura.
Beliau mengajar kanak-kanak berusia antara empat dengan 11 tahun di gim Jagsport, dua kali seminggu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman demi memupuk minat dan bakat dalam sukan judo, gusti dan sambo.
Namun, tanggungjawab itu semua bermakna jadualnya padat.
Itu bermakna Aryan tidak dapat menghabiskan banyak masa bersama keluarganya.
“Agak sukar sebenarnya. Saya perlu keluar rumah awal dan pulang lewat akibat sekolah dan latihan, jadi saya tidak dapat habiskan banyak masa bersama mereka,” akuinya.
Namun, beliau berkongsi bahawa lama-kelamaan, ahli keluarganya memahami gaya hidupnya dan akan berusaha untuk meluangkan masa bersama saya pada waktu lapang.
Kini Aryan bertekad mengekalkan prestasi beliau, memastikan pengorbanannya berserta keluarga agar dapat membanggakan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg