Seorang jurulatih Akademi Bola Sepak ActiveSG (AFA) diberikan surat amaran selepas beliau membenarkan pemain Bawah-10 tahun (U-10) pulang awal tanpa memastikan ibu bapa atau penjaga mereka tiba untuk mengambil mereka.
Kejadian itu berlaku semasa sesi latihan pada 8 Mei, yang sepatutnya bermula selepas 5 petang.
Namun, jurulatih AFA tersebut memindahkan peserta U-10 ke blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran di West Coast Crescent disebabkan oleh cuaca buruk dan risiko petir.
Beliau kemudiannya menamatkan sesi latihan lebih awal dan membenarkan pemain pulang meskipun ibu bapa mereka belum tiba untuk mengambil mereka, lapor The Straits Times (ST).
Seorang ibu yang enggan namanya didedahkan berkata bahawa beliau sangat kecewa dengan kejadian itu, kerana kebanyakan kanak-kanak tersebut berusia antara sembilan dengan 10 tahun dan ini adalah usia yang mana mereka “memerlukan pengawasan dewasa secara berterusan”.
Pada 9 Mei, beliau menerima mesej teks daripada ibu bapa lain pada sekitar 5.30 petang memaklumkan bahawa latihan telah berakhir secara mendadak dan jurulatih memberitahu kumpulan itu bahawa beliau telah berhenti.
Latihan pada awalnya dijadualkan berakhir sekitar 7 malam dan beliau merancang untuk menjemput anaknya pada masa itu.
Beliau berkata: “Saya panik kerana anak saya tiada alat elektronik untuk menghubungi saya. Saya terpaksa minta ibu bapa lain beritahu anak saya bahawa saya dalam perjalanan. Anak saya juga memberitahu jurulatih bahawa saya belum tiba dan jurulatih itu menyuruhnya pulang sendiri.”
Beliau risau kerana blok HDB itu berhampiran persimpangan trafik yang sibuk.
“Saya memberikan kepercayaan kepada jurulatih untuk memastikan keselamatan anak saya dan dia telah melanggar kepercayaan itu,” kata ibu tersebut, yang kini mengeluarkan anaknya daripada AFA.
Seorang jurucakap AFA berkata bahawa mereka telah menjalankan siasatan dalaman terhadap kejadian tersebut selepas menerima maklum balas dan jurulatih itu digantung dari semua tugas sepanjang tempoh siasatan.
Hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan dalam tanggungjawab penjagaan dan jurulatih tersebut gagal memenuhi tanggungjawabnya terhadap golongan bawah umur, tidak memenuhi standard kelakuan profesional dan melanggar Kod Etika Jurulatih.
Jurucakap itu berkata: “Berdasarkan hasil siasatan, jurulatih diberikan surat amaran bertulis, dikehendaki menjalani kaunseling dan dipindahkan ke peranan dengan kapasiti lebih rendah untuk pemantauan lanjut. Beliau juga dimaklumkan bahawa sebarang kelakuan tidak wajar pada masa depan akan dikenakan tindakan disiplin lebih tegas.”
Jurucakap AFA berkata mereka serius mengenai keselamatan pemain muda dan telah mengingatkan jurulatih mengenai tanggungjawab tinggi dalam melaksanakan penjagaan.
“Kejadian ini mengukuhkan kepentingan kod etika dan protokol perlindungan kami dan kami akan mengambil langkah memperkukuh penguatkuasaannya untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan profesional bagi semua peserta,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg