Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permintaan tinggi bagi jurulatih, guru dalam bidang berkembang pesat 

Syarikat mahu latih pekerja dalam bidang seperti AI, sains data selari dengan perkembangan ekon
Apr 10, 2025 | 5:02 PM
Platform rangkaian profesional, LinkedIn, mencatatkan peningkatan 65 peratus dalam jumlah jawatan kosong yang disenaraikan dalam sektor pendidikan Singapura pada Disember 2024, berbanding Disember 2023.
Platform rangkaian profesional, LinkedIn, mencatatkan peningkatan 65 peratus dalam jumlah jawatan kosong yang disenaraikan dalam sektor pendidikan Singapura pada Disember 2024, berbanding Disember 2023. - Foto ST

Permintaan bagi guru dan jurulatih dalam bidang yang berkembang pesat – dari kecerdasan buatan (AI) hingga sains data – meningkat apabila syarikat berlumba-lumba untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka, selari dengan perkembangan ekonomi.

Namun, menurut para pakar, mengisi kekosongan jawatan ini boleh menjadi cabaran, kerana sektor awam dan privet bersaing mendapatkan bakat yang sama.

Guru dan jurulatih muncul sebagai jawatan yang mencatatkan permintaan paling tinggi pada 2024, lapor The Straits Times (ST).

Ini mengatasi pembangun perisian, laman web, dan multimedia yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai jawatan kosong jawatan bagi pekerjaan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET) pada 2022 dan 2023, menurut Laporan Kekosongan Jawatan tahunan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 Mac.

Platform rangkaian profesional, LinkedIn, turut mencatatkan peningkatan 65 peratus dalam jumlah jawatan kosong yang disenaraikan dalam sektor pendidikan Singapura pada Disember 2024, berbanding Disember 2023.

Jumlah tersebut terus menunjukkan peningkatan 66 peratus pada Januari dan 69 peratus pada Februari.

Ia mencerminkan “peningkatan yang jelas dan berterusan” dalam jawatan berkaitan pendidikan, kata Cik Chua Pei Ying, Ketua Ahli Ekonomi rantau Asia-Pasifik (Apac) LinkedIn.

“Dengan 70 peratus daripada kemahiran yang digunakan dalam kebanyakan pekerjaan dijangka berubah menjelang 2030, pendidik yang mampu reka dan menyesuaikan kurikulum untuk mengikuti perkembangan keperluan industri amat diperlukan,” tambah Cik Chua.

Data dari LinkedIn juga menunjukkan industri sumber manusia secara aktif mengambil pekerja dalam bidang pengajaran dan latihan.

Sektor seperti perkhidmatan kejuruteraan dan teknologi juga semakin banyak merekrut jurulatih korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Institut Pengurusan Singapura (SIM), Encik Ho Seong Kim, berkata perubahan ekonomi yang pesat telah mendorong golongan dewasa yang bekerja untuk menyambung pelajaran.

“Peningkatan pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran telah meningkatkan permintaan bagi jurulatih yang mampu menghubungkan teori dengan amali,” kata Encik Ho.

Namun, mendapatkan tenaga pengajar dan jurulatih yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang tertentu bukan sesuatu yang mudah.

Contohnya, jawatan jurulatih celik data mungkin sukar diisi kerana sektor awam dan privet sama-sama bersaing untuk mendapatkan bakat dalam bidang ini, kata Encik Lim Zhirong, karyawan pakar bertauliah di Institut Profesional Sumber Manusia (IHRP).

Cabaran utama adalah mencari tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran teknikal serta kemahiran insani seperti empati dan keupayaan menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut gaya pembelajaran yang berbeza, kata Cik Sima Saadat, pengurus General Assembly Singapura – penyedia program latihan semula bagi golongan pertengahan kerjaya dalam bidang seperti kejuruteraan perisian, analitik data dan reka bentuk UX.

Encik Ho berkata ramai karyawan industri mungkin teragak-agak untuk beralih ke bidang mengajar kerana bimbang gaji yang ditawarkan tidak setanding dengan pendapatan mereka sebelum ini, khususnya bagi mereka yang memegang jawatan kanan.

Ada juga yang mungkin sudah selesa dengan aturan kerja fleksibel, atau tidak mempunyai latihan pedagogi yang diperlukan mahupun minat untuk mengajar.

Bagi Kementerian Pendidikan (MOE), pengambilan guru antara 2018 dengan 2022, kekal stabil, dengan kira-kira 650 guru direkrut setiap tahun.

Sebagai perbandingan, antara 2004 dengan 2012, MOE merekrut sekitar 2,000 hingga 3,000 guru setahun semasa ia meningkatkan jumlah tenaga pengajar.

Jurucakap MOE berkata kementerian akan meneruskan usaha pengambilan guru baru supaya dapat menarik minat graduan baru dan individu yang ingin membuat peralihan kerjaya, demi mengekalkan mutu pengajaran yang tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg