Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih baru Singa Muda, Firdaus Kassim, mahu pasukan pererat hubungan dengan peminat

Jun 25, 2025 | 5:54 PM
Jurulatih baru Singa Muda, Firdaus Kassim, bola sepak S’pura
Pada 25 Jun, Firdaus Kassim, diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan Singa Muda bagi Sukan SEA 2025 yang dijangka berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.  - Foto ST

Ketika beliau berusia lima tahun, Firdaus Kassim, mendapat inspirasi daripada semangat dan pujian yang diterima oleh pasukan Singa semasa Sukan SEA 1993 di Singapura.

Walaupun pasukan Singa tersingkir selepas kekalahan melalui sepakan penalti dalam perlawanan separuh akhir menentang Myanmar di Stadium Negara yang lama dan meraih pingat gangsa, usaha pasukan itu tetap menjadi kenangan indah yang sukar dilupakan.

Penyertaan pasukan itu bermula dengan kemenangan besar 7-0 ke atas Filipina, dan pemain seperti Fandi Ahmad dan V. Sundramoorthy mendapat sokongan padu daripada para penyokong.

Pertandingan bola sepak di Sukan SEA yang diadakan setiap dua tahun itu, kini menjadi kejohanan bawah 22 tahun, dan sukan bola sepak tempatan pula kini menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Rentetan kekalahan pasukan Singa di Sukan SEA, termasuk kekalahan 0-7 kepada Malaysia pada 2023, semakin menghakis keyakinan peminat terhadap pasukan itu.

Kini, Firdaus, 37 tahun, ingin menyemarakkan semula semangat dalam kalangan generasi baru penyokong Singa.

Pada 25 Jun, beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan Singa Muda bagi Sukan SEA 2025, yang dijangka berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu kenyataan media bagi mengumumkan pelbagai pelantikan, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memaklumkan bahawa jurulatih Lion City Sailors, Yeong Sheau Shyan dan Ashraf Ariffin, masing-masing akan membimbing pasukan bawah 16 tahun perempuan dan lelaki dalam kejohanan Piala Lion City yang berlangsung dari 8 hingga 13 Julai.

Firdaus pula akan dibantu oleh pengurus pasukan, Hafiz Sujad, 34 tahun, bekas pemain antarabangsa Singapura.

Merujuk kepada pasukan Singa pada 1993, Firdaus berkata:

“Jika anda bercakap dengan peminat warga emas, ia bukan sekadar melihat betapa bagusnya pasukan kita bermain, tetapi lebih kepada semangat juang mereka... bagaimana mereka sanggup memberikan yang terbaik.

“Saya rasa inilah harapan yang perlu kita letakkan kepada para pemain hari ini.

“Sudah tentu, saya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini dan berkata seolah-olah kita hendak pergi berperang... tetapi inilah mentaliti yang kita harus miliki.”

Bagi mencapai matlamat tersebut, Firdaus – yang telah menandatangani kontrak dua tahun dan turut membimbing pasukan Singa Muda dalam Liga Perdana Singapura (SPL) – berkata bahawa tahap piawaian akan ditetapkan dalam sesi latihan.

Beliau yakin dengan peredaran masa, semangat juang pasukan tersebut akan terserlah dalam perlawanan, tambahnya.

Sudah 12 tahun sejak kali terakhir Singapura mara ke separuh akhir Sukan SEA.

Walaupun beliau tidak mahu menetapkan sasaran khusus bagi edisi akan datang, Firdaus mahu pasukan bimbingannya itu “mengeratkan semula hubungan dengan para peminat” dengan memberikan “seluruh jiwa dan raga dalam setiap perlawanan”.

“Selain itu, kami ingin membentuk gaya permainan yang menarik – sesuatu yang dapat menambat hati para peminat,” tambah Firdaus, yang pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di Thailand bersama Muangthong United dan Chainat Hornbill.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg