Pemain tengah Lion City Sailors, Song Ui-Young, dan penyerang pasukan Thailand BG Pathum, Ikhsan Fandi, disenaraikan dalam pasukan 23 pemain pilihan jurulatih skuad bola sepak nasional, Tsutomu Ogura.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata dalam satu kenyataan media pada 29 Mei bahawa Song kembali menyertai skuad nasional buat kali pertama sejak aksi kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 menentang Korea Selatan pada 6 Jun 2024.
Ikhsan, yang telah menjaringkan 18 gol dalam 38 penampilan antarabangsa, merupakan penjaring terbanyak dalam skuad kali ini.
Ketajaman mereka di bahagian serangan dijangka memberi kelebihan kepada Singapura dalam usaha memburu jaringan menentang Maldives dalam perlawanan persahabatan mereka pada 5 Jun di Stadium Bishan dan juga perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh di Stadium Dhaka pada 10 Jun.
Kehadiran mereka, bersama seorang lain pemain penyerang, Taufik Suparno, turut menambah kepelbagaian dan pilihan bagi Ogura dalam mengatur barisan serangan pasukan.
Song meluahkan rasa bangga dapat kembali bersama skuad kebangsaan, dan tidak sabar untuk bersatu semula dengan rakan sepasukan serta staf kejurulatihan.
Beliau turut berkongsi bahawa isu keluarganya telah diselesaikan, dan kini fokusnya tertumpu untuk beraksi dalam jersi Singa sekali lagi.
“Saya mempunyai urusan keluarga yang mendesak yang perlu diselesaikan dan saya lega kerana saya berjaya menyelesaikannya,” kata pemain tengah berusia 31 tahun itu.
“Saya berterima kasih kerana diberi ruang untuk hadir bersama keluarga saya (pada masa itu),” tambahnya.
Panggilan semula Song ke skuad nasional merupakan berita baik kepada penyokong bola sepak Singapura kerana beliau dijangkakan mempertajamkan lagi barisan serangan Singa.
Beliau telah menjaringkan lima gol dan merintis satu gol dalam kempen cemerlang Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sailors, yang menyaksikan mereka berjaya ke final pertandingan tersebut.
Namun, penyerang harapan Singapura, Shawal Anuar, calon Pemain Terbaik Liga Perdana Singapura (SPL), tidak akan bersama pasukan kali ini kerana akan menjalani prosedur perubatan semasa tempoh perlawanan antarabangsa.
Keputusan itu dibuat secara bersama oleh pihak Sailors dan pasukan nasional dengan matlamat memastikan Shawal bersedia sepenuhnya menjelang musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 dan fasa seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Asia.
Penyerang muda Young Lions, Amir Syafiz, menerima panggilan sulung ke skuad senior. Dikenali dengan kelajuan di atas padang, pemain berusia 19 tahun itu berazam memberi impak bagi pasukan Singa.
Skuad nasional akan melapor diri pada 3 Jun.
Perlawanan menentang Maldives pada 5 Jun akan berlangsung di padang rumput semula jadi Bishan, yang dipilih khusus bagi pemain menyesuaikan diri dengan keadaan padang di Bangladesh – satu langkah persediaan penting menjelang perlawanan mereka lima hari kemudian di Dhaka.
Dengan kesemua empat pasukan dalam kumpulan – Singapura, India, Hong Kong dan Bangladesh – kini berkongsi satu mata selepas perlawanan pertama, tekanan semakin meningkat.
Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Asia AFC di Arab Saudi.
Tiket bagi perlawanan menentang Maldives kini laris dijual, dengan baki tempat duduk yang terhad masih boleh didapati melalui Ticketek dan laman rasmi FAS, fas.org.sg/tickets.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg