JAKARTA: Keputusan Indonesia menampilkan barisan pemain kesebelasan utama yang kesemuanya terdiri daripada pemain kelahiran luar negara dalam perlawanan pembukaan Piala Asean Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mencetuskan perdebatan hangat dalam talian, menyusuli kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada 25 September.

Kekecohan itu tercetus berikutan respons lantang jurulatih Indonesia, John Herdman, 51 tahun, kepada soalan wartawan tempatan dalam sidang media selepas perlawanan.

Sambil menyatakan bahawa kesebelasan utama pasukan itu tidak menampilkan walaupun seorang pemain tempatan buat pertama kali dalam sejarah, wartawan berkenaan bertanya: “Adakah peluang saksama masih wujud?”

Herdman menjawab:

“Ini adalah barisan pemain yang ingin mewakili negara ini, yang sanggup menaiki penerbangan dan bersedia untuk bekerja keras, melakukan tackle 50-50, serta bermain dengan penuh semangat dan jiwa untuk para penyokong di sini. Adalah penting untuk menghormati perkara itu.

“Tiada perbezaan. Tiada istilah pemain tempatan, tiada istilah diaspora. Kami semua rakyat Indonesia. Kami mewakili bendera yang sama. Kami menyanyikan lagu kebangsaan yang sama, dan kami sentiasa berdiri bersama.

“Ini adalah pemikiran yang perlu kita ubah – mereka adalah rakyat Indonesia sekarang. Mereka bangga bermain untuk anda... Dan apabila mereka mula mengelak daripada merebut bola, atau apabila mereka berhenti berlari di atas padang, barulah anda wajar menanyakan soalan sedemikian.”

Kenyataan itu menyentuh sensitiviti ramai pengguna dalam talian.

Di Instagram, seorang netizen berkata: “Malam tadi, saya melihat Indonesia menafikan peluang bakat tempatan mereka sendiri untuk bersaing di peringkat kebangsaan semata-mata demi sebuah kemenangan.”

Penyokong lain turut mempersoalkan: “Bagaimana anda hendak menjawab soalan daripada bakat-bakat muda Indonesia yang mempunyai impian untuk mewakili negara mereka?”

Namun, ada juga yang menyokong pandangan Herdman. 

Seorang penyokong berkata: “Sangat memalukan, kita ‘diajar’ oleh seorang warga England (Herdman). Beliau sendiri faham bahawa jika mahu maju, kita perlu bersatu. Kita pula masih berpecah – memalukan.”

Tuan rumah Indonesia menyenaraikan 17 pemain dinaturalisasikan daripada 23 pemain dalam skuad mereka bagi kejohanan ini. 

Pemain dinaturalisasikan merujuk kepada atlet kelahiran luar negara yang memperoleh kewarganegaraan sesebuah negara baharu bagi mewakili pasukan kebangsaan negara tersebut dalam pertandingan antarabangsa.

Hanya Filipina mempunyai lebih ramai bilangan pemain dinaturalisasikan atau dwikewarganegaraan iaitu 18.

Malaysia mempunyai lima pemain dinaturalisasikan – serta tiga lagi dengan status dwikewarganegaraan – diikuti Vietnam dengan empat pemain dan Singapura dua pemain.

Thailand, Bangladesh dan Pakistan pula memilih untuk menampilkan pemain diaspora yang layak menerusi peraturan dwikewarganegaraan, dan bukannya menerusi proses naturalisasi.

Piala Asean Fifa sulung ini berlangsung di Indonesia dan Hong Kong dari 24 September hingga 5 Oktober, menampilkan 14 pasukan – termasuk kesemua 11 negara Asean – yang bersaing menerusi dua divisyen.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti