JAKARTA: Ketua jurulatih pasukan bola sepak Indonesia, John Herdman, menyatakan keyakinan tinggi bahawa pasukannya mampu menjuarai kejohanan antarabangsa Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026.

“Saya rasa kami sangat optimistik. Sebagai sebuah pasukan, kami yakin dengan kemampuan kami,” kata Herdman ketika bercakap kepada pihak media di Stadium Madya Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 22 September.

Bagi Piala Asean Fifa 2026, Indonesia yang menjadi tuan rumah Divisyen 1 telah diundi dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Singapura dan Bangladesh.

Semua perlawanan kumpulan itu akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) di Jakarta.

Selain Kumpulan A, Divisyen 1 turut menampilkan Kumpulan B yang terdiri daripada Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan. Perlawanan Kumpulan B akan diadakan di Stadium Si Jalak Harupat di Kabupaten Bandung.

Juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober di SUGBK.

Di lokasi yang sama, pasukan yang menduduki tempat kedua Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertanding dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

“Kami percaya jika kami memberi tumpuan kepada diri sendiri dan berusaha membuktikan kemampuan kami, bukannya sibuk cuba membuktikan orang lain salah, kami mampu melaksanakan tugas ini dengan baik kerana kami mempunyai bakat yang diperlukan.

“Oleh itu, semuanya bergantung kepada kami. Setiap perlawanan adalah pertarungan untuk memenuhi standard kami sendiri.

“Jika kami mampu mengekalkan standard tersebut, kami mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menjulang trofi,” tambahnya.

Walaupun optimistik, Herdman mengakui bahawa persaingan di Asia Tenggara sangat sengit.

Beliau berkata beberapa pasukan yang mengambil bahagian mempunyai kelebihan kerana telah bermain bersama sebagai satu pasukan selama beberapa tahun.

Pasukan kebangsaan Indonesia tidak mempunyai kelebihan tersebut kerana skuad semasa masih dalam proses membentuk identiti baharu di bawah kendalian Herdman, yang telah memimpin skuad Garuda kurang daripada setahun.

“Kami tahu rantau Asean ini sukar. Persaingannya sangat sengit.

“Kami hadir dengan banyak bakat, tetapi banyak pasukan lain mempunyai pengalaman luas sebagai skuad kebangsaan yang sudah mantap.

“Justeru, bakat yang kami miliki boleh diimbangi oleh pasukan lawan yang telah bermain bersama selama tiga, empat atau bahkan lima tahun,” kata jurulatih dari England itu.

“Itulah sebabnya kami menghadapi perlawanan ini satu demi satu. Kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Singapura dan menyasarkan untuk meraih tiga mata,” katanya. – Agensi berita.

“Kami percaya jika kami memberi tumpuan kepada diri sendiri dan berusaha membuktikan kemampuan kami, bukannya sibuk cuba membuktikan orang lain salah, kami mampu melaksanakan tugas ini dengan baik kerana kami mempunyai bakat yang diperlukan. Oleh itu, semuanya bergantung kepada kami. Setiap perlawanan adalah pertarungan untuk memenuhi standard kami sendiri.”
John Herdman, ketua jurulatih pasukan bola sepak Indonesia.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti