MIAMI: Jurulatih interim Inter Miami, Guillermo Hoyos, kehilangan kata-kata menyusuli aksi cemerlang bintang Argentina, Lionel Messi, yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan Liga Bola Sepak Utama (MLS) buat julung kalinya dalam kerjayanya.

Prestasi hebatnya itu turut memberi inspirasi kepada skuad untuk meraih kemenangan besar 7-1 ke atas kelab Canada, CF Montreal, pada 29 Ogos.

Pencapaian empat gol dan satu bantuan gol oleh Messi itu hadir pada detik genting buat Miami, sekali gus membantu mereka menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan merentasi semua saingan.

Rakan sepasukan, Casemiro, membuka tirai jaringan pada minit ke-20 sebelum pemain Montreal, Fabian Herbers, menyamakan kedudukan 17 minit kemudian.

Messi, yang berusia 39 tahun, mengembalikan kuasa permainan kepada Miami sejurus sebelum tamat separuh masa pertama, dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-52.

Beliau kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-83, dan meneruskan persembahan memukaunya menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan.

Bekas penyerang Barcelona itu kini mendahului carta penjaring terbanyak MLS dengan 18 gol musim ini.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan keindahan permainan bola sepak sedemikian,” kata jurulatih asal Argentina itu.

“Begitu banyak perkara yang berlaku sehingga (saya) sudah kehabisan kata-kata. Beliau sentiasa mencari peluang untuk menjaringkan gol, bermain (dengan sebaiknya), dan membuat hantaran; saya tidak rasa beliau seorang pemain bola sepak yang biasa-biasa. 

“Penilaian terhadap dirinya, sama ada sebagai seorang pemain mahupun sebagai individu, adalah begitu mendalam sehingga anda tidak tahu lagi apa yang mahu diperkatakan,” tambah beliau.

Messi, yang memenangi Piala Dunia 2022, turut memimpin Argentina selaku kapten ke perlawanan akhir Piala Dunia 2026, di mana mereka tewas 1-0 kepada Sepanyol.

“Itulah kelebihannya apabila kami mempunyai Messi dalam pasukan. Kami perlu menikmati saat-saat ini kerana beliau seorang insan dan pemain yang mencipta sejarah,” kata Casemiro kepada Apple TV.

Casemiro, 34 tahun, menyertai Miami pada Julai selepas kontraknya bersama Manchester United tamat.

Pemain kebangsaan Brazil itu dan Messi pernah bermain di pihak bertentangan selama beberapa tahun. 

Ketika itu, Casemiro mewakili Real Madrid manakala Messi mewakili Barcelona dalam salah satu persaingan paling sengit dunia bola sepak. 

Namun kini, kedua-dua pemain menyarungkan jersi yang sama di bawah Miami.

“Kami lihat (prestasi cemerlang Messi) hari ini dan kita perlu menikmatinya, terus memberi sokongan dan bertanding bersamanya kerana beliau terus berusaha menjadi (pemain) terbaik.

“Beliau membuktikannya di Piala Dunia. Kami perlu menikmati (kejayaan ini) kerana, bersama beliau, kami jadi jauh lebih kuat,” tambah Casemiro. – Reuters.