Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih pasukan belia Balestier, Sailors didenda akibat bertengkar

Kededua jurulatih dikenakan tindakan disiplin, digantung daripada dua perlawanan
Sep 25, 2024 | 4:50 PM
Jurulatih pasukan bawah 17 tahun Balestier Khalsa, Ali Imran Lomri (tengah), digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyusuli insiden pergaduhan dengan ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Lion City Sailors, Jasni Hatta, semasa perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) pada 24 Ogos.
Jurulatih pasukan bawah 17 tahun Balestier Khalsa, Ali Imran Lomri (tengah), digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyusuli insiden pergaduhan dengan ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Lion City Sailors, Jasni Hatta, semasa perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) pada 24 Ogos. - Foto ST

Perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) yang ditaburi pertelingkahan antara pemain kededua pasukan telah menyebabkan jurulatih masing-masing dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Jurulatih pasukan bawah 17 tahun Balestier Khalsa, Ali Imran Lomri dan ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Lion City Sailors, Jasni Hatta bertengkar semasa perlawanan dan dilayang kad merah oleh pengadil.

Ali Imran juga dilihat ditahan oleh pemain pasukannya yang cuba meleraikan keadaan.

Dalam video yang dimuat naik ke media sosial oleh wadah dalam talian, The Monitor pada 25 Ogos dan 27 Ogos, pemain daripada kededua pasukan juga dilihat saling tolak-menolak. Sailors menang perlawanan itu 3-1.

Kededua Ali Imran dan Jasni juga dilihat bersemuka lagi di padang selepas wisel penamat.

Tinjauan FAS terhadap insiden itu mendapati kededua jurulatih “bertindak dengan cara yang tidak sesuai ketika mewakili kelab masing-masing dan SYL sebagai duta”.

Selain menggantung kededua jurulatih masing-masing untuk dua perlawanan akibat kesalahan kad merah mereka, FAS turut menggantung Ali untuk satu perlawanan dan mengenakan denda $500 “atas kelakuan agresif dan reaksi tidak wajar semasa perlawanan”.

Di samping itu, Jasni menerima hukuman denda $500, tertakluk kepada kelakuannya sehingga 31 Disember, kerana menggunakan “bahasa yang tidak sesuai yang menyumbang kepada konfrontasi”.

Jurucakap FAS memberitahu akhbar The Straits Times (ST) ia “mengambil berat kejadian sebegitu, terutamanya dalam pertandingan belia, di mana pemain dan pegawai perlawanan dijangka menjadi contoh teladan”.

“Sebagai sebuah organisasi, kami komited untuk memastikan profesionalisme dan rasa hormat kekal dalam sukan, terutamanya dalam pertandingan yang direka untuk memupuk bakat bola sepak generasi akan datang.

“Langkah-langkah yang sesuai, termasuk pendidikan berterusan dan sekatan yang sedia ada, akan terus dilaksanakan untuk menjaga integriti liga,” tambah jurucakap itu.

Bercakap kepada ST pada 24 September, Ali Imran, yang pernah menyarung jersi pasukan nasional, berkata beliau malu dan meluat terhadap diri sendiri apabila mengingati insiden itu.

Beliau, 48 tahun, berkata:

“Saya tidak sepatutnya bertindak balas, tetapi saya hanya membentak. Saya telah merenung apa yang saya lakukan, dan saya malu dan meluat dengan diri saya sendiri.

“Sebagai jurulatih Balestier Khalsa, saya perlu menjaga kod etika kelab. Sebagai jurulatih pasukan belia, saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pemain saya…

“Saya minta maaf kepada semua orang atas reaksi saya dan saya tidak akan bertindak seperti itu pada masa depan.”

Naib pengerusi Balestier Khalsa, Darwin Jalil, membuat pengumuman menerusi video untuk mengenakan denda tambahan $1,000 ke atas Ali Imran.

Beliau juga akan diletakkan di bawah pengawasan ketua pasukan belia di kelab itu, Indra Sahdan Daud, juga bekas pemain nasional.

Ali Imran juga perlu menjalani kaunseling. Darwin berkata ini supaya Ali Imran tidak mengulangi tingkah lalu yang sama.

“Sebagai sebuah organisasi, kami komited untuk memastikan profesionalisme dan rasa hormat kekal dalam sukan, terutamanya dalam pertandingan yang direka untuk memupuk bakat bola sepak generasi akan datang. Langkah-langkah yang sesuai, termasuk pendidikan berterusan dan sekatan yang sedia ada, akan terus dilaksanakan untuk menjaga integriti liga.”
Jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg