Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangunan SPL, pemain muda dan bakat S’pura beraksi di luar negara antara tumpuan

Presiden FAS kemukakan saranan tambah pasukan SPL kepada 10, penampilan lebih banyak bagi pemain muda dan sokong untuk bakat S’pura main di liga luar negara
Sep 17, 2024 | 4:26 PM
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Bernard Tan, menyampaikan ucapan di Kongres Tahunan ke-42 Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 16 September di Sheraton Towers.
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Bernard Tan, menyampaikan ucapan di Kongres Tahunan ke-42 Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 16 September di Sheraton Towers. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Meningkatkan prestasi bola sepak Singapura menjadi keutamaan dalam Kongres Tahunan ke-42 Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 16 September di Sheraton Towers.

Presiden FAS, Bernard Tan, memberikan anggaran bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk melihat usaha yang mereka jalankan sekarang membuahkan hasil ketara.

Beliau juga meminta maklum balas agar pembaikan dan pembetulan dapat dilakukan, dan oleh itu menggesa rakyat Singapura memberikan pandangan membina serta memberi FAS peluang dan masa untuk bertindak.

“Saya tahu kesabaran adalah perkara yang rapuh, terutama dalam bola sepak, tetapi kami telah mengambil langkah serius dan ingin melakukan lebih lagi,” ujar Tan semasa berucap pada kongres itu.

Berikut adalah lima perkara utama yang dikemukakan semasa kongres tersebut.

Saranan tambah pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) kepada 10

Untuk meningkatkan peluang saranan menambah pasukan dalam SPL kepada 10 diterima, Tan berkata FAS akan memulakan proses itu pada Oktober dan berharap ia dapat diselesaikan pada Disember.

FAS bersikap terbuka untuk menerima bukan pasukan tempatan sahaja, malah dari negara lain.

“Dengan adanya lebih banyak pasukan, ia akan menjadikan liga ini lebih menghiburkan. Dengan adanya lebih banyak pasukan negara lain, ia akan menetapkan penanda aras dan memastikan kita dapat mencapai tahap itu,” tambah Tan.

Beliau juga mengatakan dengan penyertaan pasukan luar negara dalam SPL, jumlah penyokong mungkin meningkat dan ini akan meningkatkan nilai komersial liga tersebut.

Pada Disember 2023, FAS menjemput pihak berminat membentuk kelab ke-10 bagi SPL musim 2024-2025. Pada Februari lalu, FAS mengesahkan ia menerima respons daripada beberapa kelab berminat dan perbincangan telah diadakan.

Namun, FAS kemudian mengatakan ia belum selesai melakukan penilaian ke atas pemohon dan tiada kelab baru telah diterima menyertai SPL bagi musim 2024-2025.

Lebih penampilan pemain muda Singapura

Tan juga menekankan bahawa integrasi pemain muda ke dalam pasukan kebangsaan merupakan kunci masa depan bola sepak Singapura.

Menurut beliau, jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, telah mengambil langkah yang baik ke arah usaha itu dengan menyertakan pemain Hougang United, Ajay Robson, dan penyerang Geylang International, Zikos Chua.

Kedua-dua pemain tu mendapat panggilan pertama mereka untuk menyertai pasukan senior bagi latihan semasa tempoh antarabangsa September.

FAS juga telah membuat banyak perubahan kepada sistem pembangunan belia, memperkenalkan Sistem Akreditasi Akademi, mengendalikan pampasan latihan dan skim insentif, menubuhkan Liga Belia Singapura (SYL), memulakan Pusat Pembangunan Nasional dan memperkenalkan biasiswa luar negara untuk pemain terbaik berumur 14 hingga 19 tahun.

“Kami ingin pupuk pemikiran bahawa mereka yang melalui sistem bola sepak kita, sejak berusia 12 hingga 17 tahun, mereka ini lebih baik dan bersedia berbanding dengan mereka yang tidak,” kata Tan.

Peluang bermain di liga luar negara

FAS juga akan membantu menyediakan peluang untuk bakat Singapura bermain di liga di luar negara, bukan di Asia sahaja, malah negara Eropah, demi pembangunan dan pengalaman bola sepak mereka.

“Sekiranya kita mempunyai sistem pembangunan belia yang baik, pemain muda akan tampil lebih awal di Liga Perdana Singapura (SPL) dan jika anda cemerlang, anda boleh mendapatkan perpindahan besar ke liga senior di luar negara sebelum umur 25 tahun,” terang Presiden FAS itu.

“Kami boleh membantu mereka menjalani percubaan di kelab luar negara dan menyarankan kelab luar negara untuk melihat bakat kita yang bermutu tinggi... Kami sedang membincangkan mengenai beberapa mekanisme yang membolehkan kami menyokong pemain untuk memperoleh slot di luar negara.”

Namun, beliau menekankan adalah lebih penting pasukan luar negara benar-benar menginginkan pemain Singapura agar mereka diberikan peluang dan masa untuk bermain dan mempertingkatkan kemahiran.

Menjadikan bakat asing pemain Singapura

Proses menjadikan bakat asing sebagai pemain Singapura akan kekal walaupun FAS sudah mempunyai sistem pembangunan pemain yang matang.

Tan mengambil contoh pasukan Indonesia, yang mempunyai beberapa pemain yang bukan dilahirkan di negara itu.

“Kita perlu terbuka untuk menerima bakat yang sanggup bermain untuk Singapura. Tetapi kita menganggap kewarganegaraan dengan serius dan kita mempunyai proses yang ketat dan menyeluruh.

“Kita tidak memberi kerakyatan kerana bola sepak, sebaliknya kita mengambil pemain bola sepak kerana mereka mahu menjadi warga Singapura,” ujar Tan.

Beliau mendedahkan bahawa Perry Ng, yang mewakili Cardiff City di Britain, dan Kyoga Nakamura, daripada BG Tampines Rovers, diundang menjalani latihan pasukan nasional selepas proses rundingan dan pemilihan lebih setahun untuk memastikan mereka benar-benar faham tanggungjawab yang mengiringi kerakyatan Singapura.

Peningkatan perbelanjaan

Perbelanjaan FAS meningkat daripada $28 juta kepada $30.5 juta, dengan sebahagian besar daripada peningkatan itu disalurkan kepada perbelanjaan untuk SPL, liga bola sepak domestik yang lain, pembangunan bola sepak serta kos latihan pasukan kebangsaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg