Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih: Prestasi perenang S’pura ‘satu peringatan berguna’

Kecuali perenang jarak jauh Gan Ching Hwee, prestasi wakil S’pura yang lain agak mengecewakan
Aug 4, 2025 | 1:22 PM
Jurulatih renang kebangsaan merangkap pengarah prestasi Gary Tan menilai prestasi pasukan di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) 2025 di Singapura sebagai tujuh daripada 10.
Jurulatih renang kebangsaan merangkap pengarah prestasi Gary Tan menilai prestasi pasukan di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) 2025 di Singapura sebagai tujuh daripada 10. - Foto ST

Dengan memecahkan tiga rekod nasional dalam tempoh dua hari serta mara ke pusingan akhir di kolam sendiri, perenang jarak jauh, Gan Ching Hwee, menyerlah di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) di Singapura.

Namun, prestasi atlet berusia 22 tahun itu merupakan satu-satunya pencapaian memberangsangkan bagi pasukan tuan rumah.

Tiada perenang lain daripada pasukan renang Singapura yang terdiri daripada 16 anggota itu berjaya mara ke separuh akhir di Arena WCH, dengan jurulatih renang kebangsaan merangkap pengarah prestasi Gary Tan menyifatkannya sebagai satu “peringatan berguna” buat pasukan tersebut.

Menilai prestasi pasukan pada kejohanan kali ini sebagai tujuh daripada 10, Tan berkata:

“Bolehkah kita melihat lebih ramai mara ke separuh akhir? Kita sememangnya mempunyai lebih ramai perenang yang layak ke separuh akhir di Doha (WCH 2024) dan juga seorang yang layak ke Olimpik.

“Kali ini, hanya seorang atlet wanita yang dapat mara ke peringkat akhir dan tiada yang layak ke separuh akhir.”

Menolak tanggapan para perenang memberi tumpuan kepada Sukan SEA yang bakal berlangsung pada akhir 2025, Tan memberitahu The Straits Times (ST) pada 3 Ogos bahawa “kami memang menyasarkan kejohanan ini”.

“Kami telah melakukan segala yang termampu untuk mempersiapkan mereka sebaik mungkin.

“Tapi seperti yang kita tahu, adat (sukan) renang memang begitu.

“Pasti akan ada hari di mana anda tidak mencapai sasaran, dan malangnya, ia berlaku di Singapura ketika kami terlepas mungkin tiga atau empat peluang untuk mara ke pusingan petang,” tambahnya.

Pasukan wanita bagi acara renang berganti-ganti 4x100 meter di WCH 2024 di Doha, yang terdiri daripada dua pasangan adik-beradik – Quah Ting Wen dan Jing Wen serta Letitia dan Levenia Sim – berjaya memecahkan rekod nasional pada pusingan kelayakan untuk meraih kelayakan bersejarah ke Sukan Olimpik Paris.

Selain itu, Letitia, Teong Tzen Wei dan Jing Wen berjaya ke separuh akhir dalam acara masing-masing.

Di WCH 2025, Gan memenangi pusingan kelayakan 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4 minit 9.81 saat, menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan dan memecahkan rekod, Lynette Lim, yang dicatat pada 2009 dengan masa 4:11.24.

Sehari kemudian, Gan memecahkan dua lagi rekod nasional dan melayakkan diri ke pusingan akhir acara 1,500 meter gaya bebas.

Ini menjadikan beliau perenang wanita pertama Singapura yang bertanding dalam pertandingan akhir kejohanan dunia sejak juara renang Sukan Asia, Tao Li, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam acara renang kupu-kupu 50 meter pada 2007.

Catatan masa 16:01.29 dalam pusingan kelayakan itu hampir sembilan saat lebih pantas berbanding masa 16:10.13 yang dicatatnya dalam pusingan kelayakan di Sukan Olimpik 2024. 

Manakala catatan masa bagi 800 meter pertamanya, 8:29.93, turut memecahkan rekod nasional yang dicapai beliau di Paris 2024 iaitu 8:32.37.

Gan menamatkan perlumbaan akhir di tempat ketujuh dengan catatan 16:03.51, dalam acara yang dimenangi srikandi renang Amerika Syarikat, Katie Ledecky. 

Dalam pusingan kelayakan 800 meter gaya bebas pula, beliau mencatat masa 8:31.36 untuk menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada keseluruhan 30 peserta, lapor ST.

Tan menjelaskan bahawa Gan telah membuat persiapan untuk kejohanan itu dengan perancangan jelas dan teratur. 

Meskipun atlet lain turut membuat persiapan, ia tidak dilakukan dengan ketekunan atau perancangan jelas yang sama – yang diperlukan selepas Olimpik – memandangkan piawaian prestasi kini telah berubah, ujar Tan.

Untuk mara ke pusingan akhir, atlet bukan sahaja perlu bekerja keras, malah sanggup mengatasi batas kemampuan diri.

“Diharapkan prestasi beliau akan memberi inspirasi kepada perenang lain untuk berkata ‘kami juga boleh melakukannya’, tetapi saya rasa mereka memang perlukan satu peringatan,” tambahnya.

“Ini merupakan pengingatan yang baik bagi kita menjelang Sukan SEA dan Sukan Asia kerana sejujurnya, jika yang lain, selain Ching (Gan), berpuas hati dengan prestasi masing-masing... maka kita sudah jauh menyimpang daripada matlamat.”

Menyeru para perenang dan jurulatih supaya mengambil pelajaran daripada WCH 2025, Tan berkata mereka perlu “bekerja lebih keras, lebih bijak, lebih cekap dan dengan lebih bersungguh-sungguh” menjelang pertandingan besar seterusnya – iaitu Sukan SEA dari 9 hingga 20 Disember di Thailand dan Sukan Asia 2026 di Jepun.

WCH 2025 menyaksikan Singapura menghantar kontinjen terbesar iaitu seramai 72 orang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg